Ketegangan antara MIC dan Umno berterusan apabila Naib Presiden MIC, M Asojan secara menyindir berkata yang keputusan untuk meninggalkan BN pasti akan tiba.
Membidas kritikan Puad Zarkashi terhadap MIC, Asojan berkata Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan dalaman MIC, apatah lagi mengeluarkan kenyataan yang disifatkannya sebagai kebudak-budakan.
"Umno tak dapat selamatkan bekas presidennya, Najib Razak dalam isu titah adendum, bagaimana nak jaga kebajikan masyarakat India?
"Puad sebagai Adun (Rengit di Johor) juga tak buat apa-apa kepada masyarakat India di sana," dakwa Asojan yang juga Pengerusi MIC Johor.
"Kamu kata presiden MIC (SA Vigneswaran) bukan budak, tapi kamu pula jangan bertindak seperti budak-budak. Jangan risau...ia akan tiba," katanya kepada Malaysiakini.
Asojan tidak menjelaskan konteks kata-kata "ia akan tiba" tetapi dia dipercayai merujuk kepada langkah MIC untuk keluar daripada BN.

Perhimpunan Agung Tahunan MIC semalam memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada untuk kekal dalam BN atau keluar dari gabungan itu, dengan perwakilan bersetuju untuk menyerahkan perkara itu untuk diputuskan SA Vigneswaran serta jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti.
Vigneswaran kemudian membayangkan MIC kemungkinan besar akan mengambil keputusan itu.
Semalam juga, Puad menempelak kenyataan Vigneswaran bahawa MIC tidak akan meminta maaf kepada Umno, walaupun pernah melabel presidennya, Ahmad Zahid Hamidi sebagai “menipu”.
“Lebih baik MIC minta maaf kepada masyarakat India jika rasa bersalah hingga dihukum teruk pada PRU15,” sindirnya.
Puad juga menyifatkan kemelut MIC bukan soal prinsip politik, tetapi kerana “seorang dua pemimpin kecewa tidak mendapat jawatan”, sedangkan itu prerogatif Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Malah dia mendakwa MIC pernah membuat keputusan unilateral — termasuk ketika masuk dan keluar PN pada 2020 — tanpa merujuk Umno, dan justeru itu Umno tidak pernah menganggap MIC sebagai junior partner atau rakan kongsi bawahan.
Bagaimanapun, Asojan menyatakan versi yang berbeza, dengan mendakwa keputusan untuk keluar PN itu selepas permintaan daripada kepimpinan BN.
"Sebenarnya, Umno sudah bersama-sama bersetuju menyertai PN, maka MIC pun menyertainya. Tetapi, selepas dua minggu Umno minta MIC keluar PN.
"Sebagai menghormati rakan komponen dalam BN, MIC bersetuju dengan keputusan Umno dan keluar dari PN.
"Kamu tidak tahu apa-apa. Jangan main tembak sana, tembak sini," katanya lagi.
