PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa kes rasuah yang didakwa melibatkan ramai pemimpin tidak pernah ditutup, malah individu yang terkait juga belum dilepaskan sepenuhnya.
Kata Anwar dia sendiri menonton video-video yang didedah – menunjukkan ahli politik didakwa menerima sokongan – dan berpendapat ada sebab untuk ia disiasat.
Pihak yang menjalankan siasatan pula, kata Anwar, ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini menjelaskan ia sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Setakat ini, ini kes jenayah yang tidak ada masa limitasi… jadi masih kena sabar. Kes mereka belum dipadam, belum ditutup,” kata Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu kenapa perdana menteri tidak mengambil pendekatan yang serius dalam membetulkan isu rasuah dalam negara khususnya yang melibatkan skandal di Sabah.
Mengulas lanjut, Anwar berkata pendakwaan terhadap tiga individu sebelum ini juga kerana SPRM dan AGC mendapati ada alasan dan bukti kukuh terhadap mereka, manakala kes lain masih dalam siasatan.
“Saya tidak boleh mengarahkan pendakwaan (dibuat) hanya kerana ada video. Ini yang kadang-kadang diputar balik kenyataan saya,” tambahnya.
Anwar berkata walaupun ada dakwaan kononnya kerajaan melindungi individu tertentu, siasatan berhubung video rasuah berkenaan kekal berjalan dan tidak digugurkan oleh pihak berkuasa.
Dia juga menolak dakwaan kerajaan memilih bulu dalam pendakwaan, sebaliknya menegaskan bahawa dua daripada individu yang didakwa setakat ini adalah daripada parti komponen kerajaan perpaduan.
Tak libatkan aset kerajaan
Justeru, katanya, kerajaan tidak melindungi sesiapa saja yang dianggap terlibat dengan kegiatan rasuah.
Pada masa sama, kata Anwar, sebagai perdana menteri dia juga menegaskan bahawa ada yang perlu dilakukan.
“Apa yang harus perdana menteri lakukan? Beri arahan yang kukuh (jelas) - jangan kecualikan sesiapa (daripada siasatan), tapi (perlu ada) bukti yang kuat.
“Apakah yang lain akan didakwa kemudian? Itu saya tidak tahu. Pokoknya (kes) belum dipadam, belum ditutup kes mereka. Daripada maklumat yang sampai kepada saya, belum,” tegasnya.
Pada 16 Nov lalu Anwar menegaskan aspek bukti kukuh dan pematuhan prosedur adalah penting dalam setiap siasatan kes jenayah – termasuk rasuah – dengan mengingatkan bahawa rakaman video semata-mata tidak memadai.
Bercakap dalam pertemuan dengan wakil media di Kota Kinabalu, Sabah, perdana menteri berkata perbualan yang berkaitan dengan dakwaan rasuah belum menjadikan ia sebagai suatu kes.
Antara lain, katanya, perlu ada bukti berlaku pemindahan.

Dia membuat kenyataan itu menjelang pilihan raya negeri pada hujung bulan ini dan beberapa ahli politik terpalit dengan dakwaan rasuah melibatkan lesen mencari gali bahan mineral.
Daripada 14 ahli politik Sabah yang terkait dengan video didedahkan ahli perniagaan Albert Tei, hanya dua yang didakwa iaitu penyandang kerusi DUN Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy, dan penyandang kerusi Sindumin, Yusof Yacob.
Andi dan Yusof adalah antara empat daripada mereka yang terlibat yang tidak bertanding dalam pilihan raya ini. Sepuluh lagi, termasuk ketua menteri sementara, Hajiji Noor, akan mempertahankan kerusi mereka.
Di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata dia juga tidak pernah mengeluarkan surat sokongan untuk sebarang projek atau kontrak.
Kalau ada pun surat daripadanya, kata Anwar, sekadar meminta agar ia diteliti dan ia adalah piawaian biasa.
“Tapi tidak boleh memberi sokongan,” katanya.

Menjawab dakwaan dia menggunakan aset kerajaan dalam program parti semasa berkempen di Sabah, Anwar berkata semua program politik dijalankan tanpa penglibatan kemudahan negara kecuali kenderaan rasmi yang memang dibenarkan atas pertimbangan keselamatan.
“Saya tidak ada program (parti) di Sabah, itu program kerajaan. Kempen saya semuanya kempen atas nama parti.
“Seseorang perdana menteri mesti gunakan pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi dalam apa-apa program sebab pertimbangan keselamatan,” katanya.
