Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan akan memulakan proses untuk membawa kes dakwaan pemalsuan dokumen pemain Malaysia ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Langkah ini diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan,” kata Pemangku Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi.
Keputusan itu diumumkan setelah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengeluarkan alasan penuh yang menolak rayuan mereka terhadap denda dan penggantungan tujuh pemain “warisan”.
Fifa antara lain hari ini mendedahkan bahawa mereka melancarkan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman FAM, selain menyiasat Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman, dan dua ejen bola sepak– Nicolás Puppo dan Frederico Moraes.

Dalam alasan penuh, Fifa berkata penglibatan mereka “menimbulkan kebimbangan serius yang memerlukan penelitian menyeluruh.”
Dalam kenyataan sebentar tadi, Mohd Yusoff berkata FAM komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara.
Selain itu, katanya, badan itu juga akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya.
Pada September, Fifa kenakan denda 350,000 Swiss francs (RM1.9 juta) kepada FAM.
Tujuh pemain – Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal, dan Hector Hevel – masing-masing didenda 2,000 Swiss francs.
Menurut Fifa, tujuh pemain “warisan” itu tidak mempunyai pertalian darah melalui datuk atau nenek yang lahir di Malaysia seperti didakwa.
