Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO: EIA projek ladang di Hutan Kledang Saiong 'berat sebelah'

Beberapa kumpulan masyarakat dan alam sekitar hari ini menyuarakan bantahan terhadap cadangan projek ladang seluas 2,020 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong, dengan mendakwa laporan EIA itu tidak lengkap dan memihak kepada pemaju.

Mereka berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada JAS di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.

Antara kumpulan yang hadir di pejabat JAS ialah Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) dan PSM.

Pegawai lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata EIA berkenaan gagal menangani beberapa impak alam sekitar yang kritikal, khususnya risiko pemendapan dan banjir lumpur pada anak sungai yang mengalir ke Sungai Perak.

“Semua anak sungai dari tapak projek ini mengalir ke sungai utama, Sungai Perak. Apabila pembukaan tanah berlaku, berlakulah hakisan dan pemendapan.

“Ia menyebabkan sungai menjadi keruh dan cetek, membawa kepada pencemaran air, banjir lumpur dan banjir kilat,” jelasnya.

Risiko konflik manusia–hidupan liar

Meor turut menegaskan bahawa EIA gagal menilai pergerakan hidupan liar serta halangan yang diwujudkan Lebuhraya Utara–Selatan.

“Kami juga bimbang apabila kawasan ini dibangunkan, hidupan liar tak dapat bergerak ke hutan lain kerana secara topografi, kawasan tersebut terhalang oleh Lebuhraya Utara–Selatan.

Gambar fail, bantahan untuk projek ladang pertama pada 2023.

“Maksudnya, projek ini menjadi ‘pulau’ dan hidupan liar tak dapat melarikan diri ke hutan lebih selamat kerana halangan lebuh raya,” katanya sambil memberi amaran bahawa mitigasi tidak mencukupi akan memaksa haiwan memasuki kawasan penempatan dan meningkatkan konflik manusia–hidupan liar.

Menurutnya penduduk terjejas tidak dirunding dengan baik dan penilaian impak sosial (SIA) dalam laporan EIA itu tidak memadai.

“Jumlah responden yang disurvei di setiap kampung kurang 50 peratus isi rumah. Itu terlalu rendah.

“Projek ini juga mengancam sumber pendapatan komuniti Orang Asli dan kampung Melayu yang bergantung kepada hasil hutan di kawasan tersebut,” katanya sambil menegaskan ia melanggar prinsip Persetujuan Bebas, Awal dan Dimaklumkan (FPIC) yang diiktiraf di bawah Deklarasi PBB mengenai Hak Orang Asli.

Mereka turut memaklumkan bahawa ini merupakan projek ladang hutan kedua yang diluluskan di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Projek pertama seluas 4,280 hektar diluluskan tahun lalu namun kerja lapangan masih belum bermula.

Pengerusi PSM, Dr Jeyakumar Devaraj berkata gabungan itu tidak sempat mencabar EIA pertama di mahkamah kerana kelulusannya hanya diketahui selepas melepasi had masa tiga bulan yang ditetapkan undang-undang.


BACA BERKAITAN: Hutan simpan seluas 5,994 padang bola mungkin berubah wajah


Kedua-dua projek di kawasan itu melibatkan penebangan hutan semula jadi secara total dan penanaman semula hanya tiga spesies pokok komersial yang akan ditebang setiap lima hingga tujuh tahun untuk kayu balak.

Pegawai projek Kuasa, Nizam Rahman berkata projek tersebut menyeleweng daripada tujuan asal ladang hutan, iaitu untuk mengurangkan kebergantungan kepada pembalakan di hutan semula jadi — bukan menukar hutan sedia ada kepada ladang monokultur.

Katanya, ladang seperti itu patut dibuat di kawasan terdegradasi, bukan di dalam hutan simpan yang masih utuh.

Dia turut menolak dakwaan bahawa kawasan projek berkenaan dikategorikan sebagai “hutan rosot”.

“Hutan ini sangat bernilai dari segi ekologi bukan sahaja kerana kepelbagaian mamalia dan hidupan liar terlindung yang tinggi, tetapi juga kerana sungai-sungainya yang membekalkan air bersih kepada komuniti sekitar,” katanya.

Gambar fail, Kampung Orang Asli Bukit Chermin di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Dalam nada sama, Jeyakumar mendakwa kelemahan terbesar laporan itu ialah perunding EIA dilantik terus oleh pemaju, sekali gus mewujudkan konflik kepentingan.

“Masalah di Malaysia ialah EIA dibuat oleh perunding yang diupah pemaju; merekalah yang membayar EIA itu.

“Apabila kami baca EIA ini, kami lihat banyak isu dan kelemahan. Kami kata EIA ini berat sebelah, cuba menjimatkan kos projek dan patut dibatalkan,” katanya.

Terdahulu, sebelum penyerahan memorandum, berlaku sedikit kekecohan apabila pengawal keselamatan meminta kumpulan itu bersurai ketika sidang media di luar pejabat JAS atas alasan mengganggu.

Situasi berkenaan reda selepas perbincangan ringkas dan aktivis meneruskan penyerahan dokumen kepada bahagian penilaian JAS.

Untuk langkah seterusnya, gabungan itu merancang bertemu Menteri Besar Perak Saarani Mohamad selepas proses bantahan EIA selesai dan berharap perbincangan lanjut dapat dilakukan bersama kementerian.

“Langkah pertama ialah membantah EIA, langkah seterusnya bertemu menteri besar.

“Kami juga mohon dalam memorandum supaya ada dialog dengan ketua pengarah (JAS), supaya kami boleh jelaskan dengan lebih mendalam.

“Kami harap lebih banyak ruang penyertaan diberi, terutamanya kepada komuniti sendiri untuk meluahkan pandangan,” kata Jeyakumar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS