Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Tei kecam polis lepas kes menantu Musa Aman diklasifikasi NFA
Diterbitkan:  Nov 18, 2025 6:06 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Peguam, Mahajoth Singh mengkritik pihak polis selepas laporan anak guamnya, ahli perniagaan Albert Tei terhadap penyandang Adun Membakut, Arifin Arif diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Dalam satu kenyataan hari ini, Mahajoth menyifatkan keputusan itu sebagai mengecewakan.

“Kami dimaklumkan bahawa kes itu ditutup atas alasan ia ‘bersifat sivil’.

“Dengan hormat, sukar untuk menerima alasan tersebut memandangkan aduan itu melibatkan laporan palsu, iaitu kesalahan jenayah dan bukannya pertikaian sivil,” katanya.

Pada 6 Februari, Tei memfailkan laporan polis balas terhadap Arifin, sehari selepas Arifin membuat laporan terhadap artikel Malaysiakini yang memetik Tei sebagai mendakwanya cuba menjadi orang tengah untuk ‘menyelesaikan’ skandal rasuah melibatkan beberapa Adun di Sabah.

Dalam laporan balas itu, Tei berkata dia sanggup ditahan dan didakwa jika siasatan membuktikan dakwaannya tidak benar.

Pada masa sama, dia menuntut agar Arifin, yang merupakan menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman, dibawa ke mahkamah jika didapati memang membuat laporan polis palsu.

Arifin Arif

Selain itu, Tei turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCC) pada 7 Julai berhubung dakwaan kegagalan polis mengambil tindakan ke atas laporannya terhadap Arifin.

NFA beri mesej salah

Mahajoth berkata pengelasan kes itu sebagai NFA tidak meningkatkan keyakinan terhadap sistem dalam negara ini.

“Anak guam saya telah mengikuti perkembangan sejak awal tahun ini dan malah membawa perkara ini kepada IPCC apabila tiada tindakan diambil oleh polis.

“Keputusan ini berisiko mewujudkan gambaran bahawa tindakan membuat laporan palsu tidak membawa apa-apa akibat, satu mesej yang membimbangkan kepada orang awam,” katanya.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan skandal perlombongan Sabah yang membabitkan sejumlah pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum ditutup.

Dia memberitahu Parlimen bahawa SPRM telah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara.

Kata Anwar lagi, dia sendiri menonton video-video yang didedahkan Tei – menunjukkan ahli politik didakwa menerima sokongan – dan berpendapat ada sebab untuk ia disiasat.

“Setakat ini, ini kes jenayah yang tidak ada masa limitasi… jadi masih kena sabar. Kes mereka belum dipadam, belum ditutup,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS