Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada hikmah buat PKR apabila Rafizi kalah - Hassan Karim
Diterbitkan:  Nov 20, 2025 3:53 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, menyifatkan kekalahan bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli yang gagal mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mei lalu sebagai perkembangan yang positif.

Menurut ahli parlimen yang lantang itu, keputusan tersebut — yang turut menyaksikan Rafizi berundur daripada Kabinet — membuka ruang baharu kepada ahli parlimen Pandan itu untuk memberi sumbangan secara lebih bebas di luar kerajaan.

“Yang mendapat rahmat dari perkembangan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah PKR.

“Apabila Rafizi terus hidup dan berpolitik dengan aktif untuk menyumbangkan idea-ideanya yang segar di dalam Parlimen dan di podcast di media sosial maka ia membantu menghidupkan terus harapan rakyat terhadap PKR,” katanya.

Pada pemilihan PKR Mei lalu, Nurul Izzah Anwar secara rasmi menang perebutan jawatan timbalan presiden dengan menewaskan Rafizi.

Anak presiden PKR itu memperoleh 9,803 undi daripada kira-kira 15,000 perwakilan yang mengundi namun jumlah undi yang diperoleh Rafizi tidak didedahkan.

Hassan berkata, dengan wujudnya fenomena baru di luar kerajaan, Rafizi kini masih kekal sebagai seorang anggota PKR yang tetap setia dengan idealisme reformis yang jujur memihak kepada rakyat jelata dan bukannya golongan elitis kelas berkuasa.

Justeru katanya, bekas menteri ekonomi itu dan ahli-ahli parlimen sependirian dengannya berupaya menjanjikan masa depan yang cerah untuk PKR di masa hadapan.

Menurut Hassan lagi, rakyat mulai nampak suatu realiti bahawa kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan PKR yang didukung oleh lebih sejuta anggota adalah dua entiti yang berbeza.

“Kerajaan Madani mungkin timbul atau mungkin tenggelam dalam Pilihanraya Umum ke-16 akan datang.

“Tetapi dengan perkembangan terbaru PKR dan fenomena Rafizi maka PKR mungkin akan terkesan sedikit bersifat sementara tetapi ia boleh cepat bangkit semula dengan lebih kuat meneruskan perjuangannya,” katanya.

Hassan juga menyorot perbezaan pendirian parti terhadap Perjanjian Timbal Balik Tarif (ART) yang ditandatangani antara Anwar dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 26 Oktober lalu.

Katanya, isu itu membabitkan dasar dan kedaulatan negara, menjadikannya titik perbezaan penting antara perdana menteri dan beberapa ahli parlimen PKR, termasuk Rafizi.

Walau demikian, Hassan memuji kepimpinan parti — khususnya Anwar — yang menurutnya tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota yang lantang mengkritik perjanjian tersebut.

“Setakat ini tiada tindakan disiplin diambil terhadap ahli parlimen PKR yang mengkritik kerajaan. Dalam hal ini, penulis tabik hormat kepada Anwar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS