Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasmi: Nurul Izzah timbalan presiden baru PKR
Diterbitkan:  May 23, 2025 7:06 PM
Dikemaskini: 3:56 PM

Nurul Izzah Anwar secara rasmi menang perebutan jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR, menewaskan penyandangnya, Rafizi Ramli.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Dr Zaliha Mustafa dan disambut dengan sorakan “reformasi” di Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada malam ini.

Menurut Zaliha, Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi namun tidak mendedahkan jumlah undi yang diperoleh Rafizi. Terdapat kira-kira 15,000 perwakilan yang mengundi secara fizikal dan dalam talian dalam pemilihan kali ini.

Rafizi kemudian dilihat meninggalkan dewan selepas kongres tamat itu tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Terdahulu, Malaysiakini memetik beberapa sumber parti yang menyatakan bahawa Rafizi telah tewas.

Ia dimaklumkan oleh seorang pegawainya sebentar tadi, selain maklumat daripada sumber dalaman parti serta ejen kiraan yang enggan namanya didedahkan.

"Alhamdulillah. Kalah dah. Begitulah ceritanya," kata Syukri Razab di media sosialnya.

Pemimpin dari kem Nurul Izzah juga memberitahu maklumat sama kepada Malaysiakini.

Bagi jawatan Naib Presiden, dua daripadanya dimenangi sekutu Nurul Izzah, Amirudin Shari dan R Ramanan, dengan masing-masing memperoleh 7,955 dan 5,895 undi.

Dua lagi jawatan Naib Presiden dimenangi Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun (5,889 undi) dan  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang (5,757 undi) - kedua-duanya daripada kem Rafizi.

Anwar pula menang jawatan Presiden tanpa bertanding, begitu juga dengan setiausaha poliitknya, Kamil Munim bagi jawatan Ketua Angkatan Muda PKR.

Fadhlina Sidek mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita PKR dengan memperoleh 2,890 undi dalam saingan satu lawan satu menentang Rodziah Ismail.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS