Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Gaza yang baru-baru ini diterima pakai dan diluluskan mungkin menunjukkan perubahan besar yang tidak dapat dielakkan dalam pandangan dunia terhadap ketidakadilan besar yang menimpa rakyat Palestin.
Hakikat bahawa tiada negara mengundi menentang resolusi tersebut merupakan satu kenyataan muktamad tentang keperluan kritikal untuk menyeru keadilan bagi rakyat Palestin di Gaza, dan mungkin juga dua negara yang berkecuali menunjukkan bahawa resolusi ini tidak cukup komprehensif untuk menangani kepentingan jangka panjang penentuan nasib sendiri yang sebenar serta pembentukan sebuah negara Palestin.
Pembentukan Lembaga Keamanan – BOP yang majoritinya terdiri daripada negara asing Barat dan kekurangan atau hampir tiada langsung penyertaan pemegang taruh Palestin yang benar-benar ‘tempatan’, merupakan kelemahan ketara dalam usaha mencapai penyelesaian jangka panjang yang stabil dan bermakna.
Hakikat bahawa Donald Trump yang mempengerusikan BOP telah memilih bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, untuk memainkan peranan penting bersama ahli negara Kesatuan Eropah yang mendominasi, melukiskan gambaran suram tentang perubahan positif dan kemajuan ke arah penyelesaian berkekalan memandangkan pihak-pihak tersebut adalah pembekal senjata utama yang berterusan kepada Israel dan berkepentingan.

Kekurangan fokus dan ketiadaan agenda penentuan nasib sendiri rakyat Palestin serta pembentukan sebuah Negara Palestin adalah kebimbangan jelas yang menunjukkan satu lagi sandiwara yang panjang buat rakyat Palestin sementara bom Israel masih menghujani Gaza pada saat ini.
Tindakan berkecuali oleh China dan Rusia mencerminkan kebimbangan tulen terhadap keberkesanan dan kesungguhan serta kemahuan politik anggota utama lain dalam BOP untuk mengekang Israel yang masih menafikan bantuan kemanusiaan sepenuhnya sambil meneruskan serangan ke atas Gaza.
Kami khuatir sandiwara - 'song and dance ritual' oleh BOP hanyalah satu gerak isyarat simbolik kosong untuk meredakan kemarahan rakyat masing-masing yang semakin marah terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berterusan serta sokongan ketenteraan dan tidak bermoral negara mereka terhadap Israel.
Lembaga Keamanan- BOP, hanyalah satu lagi perubahan kosmetik untuk 'mencuri masa' bagi pelaksanaan pembersihan etnik Israel sementara rakyat Palestin mati perlahan-lahan dalam penderitaan akibat pengeboman, kebuluran dan kelaparan — ditambah pula dengan ketibaan musim sejuk yang bakal memperburukkan penderitaan dan kehancuran mereka.

Rakyat Palestin tidak memerlukan sebuah Lembaga Keamanan-BOP berkuasa tinggi untuk menyelesaikan masalah dan masa depan mereka.
Apa yang benar-benar diperlukan rakyat Palestin ialah perantara yang jujur - an honest broker, tanpa sebarang konflik kepentingan — dan kita tidak nampak mana-mana pihak Barat atau negara jiran Timur Tengah mereka mampu menawarkan itu.
Sehingga wujud perantara yang benar-benar jujur, ikhlas serta tulen, mempunyai kemahuan politik serta pengaruh yang kuat, rakyat Palestin akan terus berdepan musim sejuk yang panjang dan suram sementara kita menyaksikan ritual lakonan palsu “song and dance” oleh Lembaga Keamanan - BOP di dominasi negara Barat, sementara rakyat Palestin terus dibunuh Israel.
RAJA BAHRIN SHAH Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
