Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul enggan mengulas keputusan Upko keluar daripada PH, menjelaskan dia tidak boleh membuat sebarang keputusan atau komen sehingga menerima notis rasmi daripada pihak terlibat.
“Saya belum menerima sebarang surat. Jadi, saya tidak boleh mengulas sehingga saya menerima surat itu.
“Buat masa ini, belum ada apa-apa. Tiada apa-apa,” katanya ketika ditanya di Putatan, Sabah, hari ini.
Upko meninggalkan PH pada 10 Nov susulan rancangan Putrajaya untuk memfailkan rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan hasil 40 peratus Sabah.
Parti itu, yang memegang dua kerusi parlimen — Penampang dan Tuaran — mengumumkan penarikan diri lima hari sebelum hari penamaan calon.
Ketika ditanya apa keputusan yang akan dibuat sebaik menerima notis rasmi, Johari menegaskan sifat prosedur tugasnya — tanpa notis bertulis, tiada kes untuk dipertimbangkan.
Pada 17 Nov, Presiden Upko Ewon Benedick berkata dia meletakkan jawatan dalam kabinet dan membawa partinya keluar daripada PH untuk menghantar mesej tegas bahawa dia tidak akan berkompromi mengenai hak Sabah, khususnya tuntutan 40 peratus hasil itu.
“Selama ini, ramai ahli-ahli Parlimen Sabah bertegas dalam perbahasan (berkenaan perkara itu) di Parlimen, mungkin ketegasan itu tidak cukup keras buat kamu (kerajaan Persekutuan).
“Sebab itu saya memilih untuk memberi mesej tegas ini dengan meletakkan jawatan untuk mempertahankan hak 40 peratus Sabah dan pelaksanaan segera hak ini,” katanya dalam video yang dikongsi di Facebook.
