Presiden Upko, Ewon Benedick berkata dia meletakkan jawatan sebagai menteri dan mengeluarkan partinya daripada PH untuk menghantar mesej yang “keras dan tegas” bahawa soal Sabah, terutama berkenaan hak 40 peratus hasil negeri, tidak akan dikompromi.
“Selama ini, ramai ahli-ahli Parlimen Sabah bertegas dalam perbahasan (berkenaan perkara itu) di Parlimen, mungkin ketegasan itu tidak cukup keras buat kamu (kerajaan Persekutuan).
“Sebab itu saya memilih untuk memberi mesej tegas ini dengan meletakkan jawatan untuk mempertahankan hak 40 peratus Sabah dan pelaksanaan segera hak ini,” katanya dalam video yang dikongsi di Facebook, hari ini.
Ewon membalas kritikan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke semalam yang menyifatkan langkahnya untuk meletakkan jawatan sebagai lebih kepada untuk menarik perhatian.
Loke berkata kerajaan Persekutuan sudah memulakan langkah berhubung perkara itu dan bahkan menetapkan mesyuarat khas kabinet pada 11 November untuk membincangkannya, dengan keputusan dibuat untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi.

“Ewon asyik menekankan isu ini, cuba menjadi wira, tetapi hakikatnya dia tidak hadir pada mesyuarat khas Kabinet itu, sementara Peguam negara hadir untuk menjelaskan perkara berkenaan kepada Kabinet. Ewon tahu tentang mesyuarat itu tetapi dia tidak hadir.
"Jika dia benar-benar berani, mengapa tidak hadir dan berdepan dengan Peguam Negara? Mengapa tidak menyatakan hujahnya secara rasmi dan merekodkannya? Hakikatnya, dia mengelak daripada berbuat demikian,” kata Loke.
‘Saya bukan wira’
Menjawab kenyataan Loke, Ewon berkata dia tidak berniat untuk menjadi “hero”.
“Dalam perkara ini, hero sebenar adalah Sabah Law Society, hero pertama kita, dan pemuda di Jalan Gaya yang bertanya kepada Perdana Menteri (berkenaan perkara itu)...itu adalah wira nombor dua Sabah,” katanya.
Ewon berkata kepada Loke yang dia akan sentiasa mempertahankan hak Sabah dan berusaha untuk memastikan kerajaan Persekutuan membayar hak tersebut.
“Kita perlukannya untuk pembangunan Sabah, menyelesaikan kemiskinan di Sabah, untuk membuka peluang ekonomi dan keusahawanan kepada usahawan kecil dan sederhana di Sabah serta membuka peluang pekerjaan kepada anak muda.
“Saya menghormati perbezaan kita tetapi harus ada sempadannya. Ini (hak 40 peratus Sabah) merupakan sempadan buat saya,” katanya lagi.
Ewon turut menggesa Loke agar meneliti notis rayuan yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 13 November lalu dan memberi penjelasan kepada rakyat kenapa kerajaan Persekutuan membuat rayuan terhadap lapan perkara dalam penghakiman.
“Bukan sahaja Loke tetapi seluruh kabinet Persekutuan perlu jelaskan.“Biar rakyat Sabah putuskan jika mereka boleh terima penjelasan anda atau mereka mahu pemimpin Sabah mempertahankan hak negeri seperti yang disebut Mahkamah Tinggi,” katanya lagi.
