Kumpulan pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap eksploitasi, penipuan serta amalan hutang berterusan yang menghimpit pekerja Bangladesh di Malaysia, sambil menyifatkannya berlaku secara meluas dan “sistematik”.
Para pakar berkata mereka “sangat terganggu” dengan dakwaan terkini yang menunjukkan penipuan pengambilan pekerja dan eksploitasi masih berlangsung meskipun pelbagai amaran sudah diberikan sebelum ini.
Situasi tersebut, kata mereka, terus memberi kesan buruk kepada ribuan pekerja dan keluarga masing-masing.
“Kami mendesak kedua-dua kerajaan menggandakan usaha untuk memastikan pekerja migran tidak dijadikan penjenayah atau menjadi mangsa buat kali kedua.

“Kami menggesa kedua-dua negara menjalankan siasatan segera dan bebas terhadap semua dakwaan, selain menyediakan pemulihan berkesan termasuk pampasan dan pelepasan hutang kepada mangsa,” kata mereka pada satu kenyataan semalam.
Para pakar ini mendesak agensi pengambilan yang menipu pekerja perlu dibawa ke muka pengadilan.
Malaysia turut diminta memperkukuh perlindungan bagi memastikan pekerja migran tidak menjadi mangsa eksploitasi, penahanan, tangkapan arbitrari atau pengusiran sewenang-wenangnya.
Pemulangan paksa tidak boleh diterima - pakar
Pakar PBB turut memberi amaran bahawa tindakan balas terhadap pekerja, termasuk pemulangan paksa, “tidak boleh diterima” dan bercanggah dengan undang-undang hak asasi antarabangsa.
Mereka menyatakan ribuan pekerja yang direkrut melalui Bangladesh Overseas Employment and Services (BOES) masih terkandas di Bangladesh meskipun telah membayar kos pengambilan yang didakwa lima kali ganda lebih tinggi daripada kadar rasmi.
"Sebahagian pula berdepan risiko eksploitasi sebaik tiba di Malaysia.
“Sebahagian pula berdepan risiko eksploitasi selepas tiba di Malaysia.

“Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk rampasan pasport oleh majikan, janji kerja palsu, ketidakselarasan antara kontrak dan pakej pekerjaan sebenar serta pendedahan maklumat peribadi pekerja termasuk nombor pasport tanpa persetujuan mereka,” kata pakar tersebut.
Pakar juga mengatakan pekerja yang sudah sampai ke Malaysia turut mendakwa mereka dipaksa membuat bayaran tambahan, manakala ada yang dipindahkan ke kerja lain tanpa persetujuan.
Menurut pakar PBB itu lagi, hanya segelintir agensi terlibat tetapi mereka beroperasi sebagai “sindiket tertutup” dengan sokongan korupsi dan kekurangan ketelusan.
Pakar berkata terdapat juga laporan pekerja dipaksa menandatangani atau merakam kenyataan palsu sebelum berlepas, kononnya mereka hanya membayar yuran rasmi.

Tindakan itu, tegas para pakar PBB menafikan hak pekerja untuk mendapatkan perlindungan atau keadilan, sambil menyuarakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kedua-dua negara bagi menyelesaikan isu tersebut.
Pakar hak asasi manusia PBB yang terlibat dalam laporan eksploitasi pekerja Bangladesh ini terdiri daripada beberapa Pelapor Khas PBB dan ahli kumpulan kerja di bawah mekanisme Prosedur Khas Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Mereka termasuk Pelapor Khas PBB mengenai perhambaan moden Tomoya Obokata; Pelapor Khas PBB mengenai hak asasi migran, Gehad Madi; serta Pichamon Yeophantong bersama lima ahli lain daripada kumpulan kerja mengenai perniagaan dan hak asasi manusia. Semua pakar ini merupakan pakar bebas yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB, yang berfungsi memantau, menyiasat dan memberi amaran awal kepada kerajaan mengenai pencabulan hak asasi manusia.
Para pakar ini telah berhubung dengan kerajaan Malaysia serta Bangladesh berhubung dakwaan Malaysia minta hentikan siasatan
Untuk rekod, penghantaran pekerja Bangladesh ke Malaysia disambung pada Ogos 2022 selepas hampir enam tahun terhenti. Namun pada Mei lalu—walaupun lebih 476,000 pekerja dihantar—program itu dihentikan sekali lagi, menyebabkan 17,000 pekerja berlesen gagal berangkat.
Putrajaya ketika itu mengehadkan kemasukan kepada 25 agensi Bangladesh yang kemudian digelar “sindiket”, dikatakan mempunyai kaitan dengan empat bekas menteri dan ahli Parlimen Bangladesh.
Walaupun kos rasmi ditetapkan Bangladesh pada 79,000 taka (kira-kira RM3,400), pekerja mendakwa mereka dipaksa membayar sehingga 544,000 taka (kira-kira RM23,000) seorang — dengan 142,000 taka dikutip ejen Bangladesh dan 150,000 taka lagi oleh sindiket di Malaysia bagi setiap visa.
Mahkamah Tinggi Dhaka kemudian mengarahkan siasatan semula selepas membatalkan laporan akhir oleh Jabatan Siasatan Jenayah (CID) terhadap 103 individu yang disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Bangladesh bersetuju menghentikan siasatannya terhadap dakwaan sindiket tersebut atas arahan kerajaan Malaysia.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menafikan mengadakan pertemuan rasmi dengan wakil Bangladesh namun enggan mengulas surat kementerian itu kepada Dhaka.
