PARLIMEN | Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menegaskan bahawa sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) telah melalui ujian berkaitan pengguna sebelum dilancarkan.
Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Teo (PH-Kulai) berkata ujian penerimaan pengguna (User Acceptance Test - UAT) untuk sistem tersebut, yang menggunakan aplikasi mudah alih dibangunkan oleh Telekom Malaysia (TM), dijalankan sehingga Oktober tahun ini.
"UAT telah dijalankan bersama dengan PDRM pada 11 Julai tahun ini, APM (Angkatan Pertahanan Awam) pada 27 Julai, APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 3 Sept, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) pada 23 sept.
"KKM lima kali buat ujian penerimaan pengguna dan akhirnya diterima pada 7 Okt,” kata timbalan menteri itu dalam ucapan penggulungan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di peringkat jawatankuasa.
Bagaimanapun, Teo tidak menjawab pertanyaan Ahli Parlimen pembangkang, Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), yang mahu penjelasan mengenai liputan UAT serta sama ada ia dijalankan secara seimbang di kawasan bandar dan luar bandar.
Susulan pelaksanaan sistem NG Mers 999 pada 15 Nov, orang ramai mengadu panggilan kecemasan gagal disambungkan, dengan sesetengah mendakwa ambulans dihantar ke lokasi jauh di luar kawasan mereka.
Pada 20 Nov Kementerian Kesihatan mengembalikan sementara sistem lama panggilan kecemasan perubatan dan penghantaran ambulans kepada Mers 999.
Seorang pakar dalam sistem pengurusan panggilan kecemasan perubatan menggesa pihak berkuasa menguji terlebih dahulu sistem NG MERS 999 dalam persekitaran “sandbox” sebelum diguna pakai di seluruh negara.
Teo: Situasi terkawal
Teo memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa situasi kini “terkawal” selepas TM menambah lebih ramai ejen di pusat panggilan mereka.
"Walaupun incoming calls (panggilan masuk) masih sangat tinggi berbanding platform lama, sekarang 95 peratus panggilan dijawab dalam tempoh masa 8 saat, selaras SLA yang ditandatangani kerajaan dengan TM,” katanya.
Mengakui banyak panggilan kecemasan tidak dijawab selepas pelancaran sistem baru, Teo menjelaskan isu itu disebabkan peningkatan mendadak panggilan.
Dia berkata pada platform Mers 999 lama, purata panggilan masuk harian ialah kira-kira 28,000.
"Apa yang kita notice adalah NG 999 ini dikuat kuasa atau beroperasi secara rasmi pada 15 Nov, pada hari itu total incoming calls adalah sebanyak 50,000, tetapi di platform yang lama Mers 999, incoming call secara purata setiap hari 28,000 saja.
Menurutnya pada 15 Nov sebanyak 50,000 diterima diikuti 60,000 pada 16 Nov, 61,000 panggilan pada 17 Nov, 55,000 panggilan pada 18 Nov, 38,000 panggilan pada 19 dan 20 Nov, 49,000 panggilan pada 21 Nov, 53,000 panggilan pada 22 Nov dan 50,000 panggilan pada 23 Nov (semalam).
Sebelum ini, TM menyatakan pada 20 Nov bahawa sistem lama menerima purata 50,000 panggilan sehari, manakala NG Mers 999 menerima hampir 70,000 panggilan sehari.
Syarikat telekomunikasi tersenarai awam itu mendakwa hanya “kira-kira lima peratus panggilan adalah kecemasan sebenar, manakala selebihnya panggilan senyap dan jenaka.”
TM juga menyatakan NG Mers 999 dilaksanakan kerana sistem lama telah mencapai had teknikal dan tidak dapat menyokong keperluan kecemasan negara.
