Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menyuarakan kebimbangan baginda terhadap pelantikan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sambil menekankan pentingnya badan itu kekal bebas.
Bertitah di Negeri Sembilan dan dipetik The Edge Malaysia, Tuanku Muhriz memberitahu kebimbangan disuarakan pihak yang berkenaan terhadap pelantikan tersebut perlu ditangani secara telus.
Titah baginda ia penting bagi memelihara keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman, selain menegaskan bahawa pelantikan hakim juga mesti dilindungi daripada cabang eksekutif kerajaan.
“Beta pernah bertitah tentang keperluan mendesak untuk memperbaharui JAC. Baru semalam, saya dimaklumkan tentang pelantikan dengan ahli baru JAC.
“Majlis Peguam telah membantah keras pelantikan baru-baru ini. Perlu ada respons yang munasabah terhadap bantahan yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam.
“Mereka (hakim) mesti menilai kes di hadapan mereka semata-mata berdasarkan fakta dan undang-undang. Untuk mencapai matlamat ini, peranan peguam adalah penting.
“Badan kehakiman tidak dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan tanpa bantuan Badan Peguam. Oleh itu, Badan Peguam yang cekap dan berprinsip adalah sama pentingnya,” titah baginda pada sambutan ulang tahun ke-60 Badan Peguam Negeri Sembilan pada 22 Nov.
Tuanku Muhriz sebelum ini mengulangi kebimbangan yang sama, menekankan keperluan untuk pembaharuan segera ke atas JAC dan memberi amaran bahawa penglibatan eksekutif yang berlebihan boleh menjejaskan kebebasan kehakiman.
“Khususnya, mekanisme suruhanjaya untuk memilih ahli tetapnya perlu diusahakan semula.
“Pembaharuan segera perlu dipertimbangkan untuk memperkukuhkan kebebasan suruhanjaya dan akhirnya badan kehakiman.
“Terdapat keperluan untuk mekanisme yang pelbagai dan bebas apabila melibatkan pemilihan lima orang utama dalam suruhanjaya,” titah baginda.
Pada 21 Nov lalu Malaysiakini menyiarkan kritikan Majlis Peguam berhubung pelantikan Ahmad Terrirudin – yang juga hakim Mahkamah Persekutuan – ke dalam JAC.
Walaupun mengakui kuasa pelantikan itu berada di bawah perdana menteri, Majlis Peguam mengingatkan jawatan tersebut lazimnya diisi oleh hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan.
Presiden Majlis Peguam Ezri Abdul Wahab berkata penyimpangan amalan tersebut menimbulkan persoalan yang wajar mengenai asas keputusan dibuat, khususnya apabila tiada penjelasan jelas mengenai kriteria yang digunakan.
“Ketelusan, kejelasan dan penghormatan terhadap kelaziman adalah penting untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap kebebasan badan kehakiman,” katanya.
Terrirudin dilantik untuk menganggotai JAC selama dua tahun berkuat kuasa pada 15 Nov lalu.
Dia dilantik oleh melalui kuota eksekutif yang memperuntukkan lima anggota ke dalam JAC.
Melalui kuota tersebut perdana menteri boleh melantik seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan empat tokoh yang bukan anggota eksekutif atau perkhidmatan awam.
Empat anggota lain yang secara automatik menganggotai JAC berdasarkan jawatan mereka dalam badan kehakiman ialah Ketua Hakim Negara yang menjadi pengerusinya, Presiden Mahkamah Rayuan, serta dua hakim besar yang mewakili Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
