Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: PAS akan beri 'seribu dalil' untuk pertahan batu asas tulisan Cina
Diterbitkan:  Nov 25, 2025 2:51 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

PAS akan mengeluarkan “seribu dalil” bagi mempertahankan apa yang mereka lakukan namun pada masa akan membuat kecaman apabila pihak lain membuat perkara serupa, menurut Rafizi Ramli berhubung batu asas bertulisan Cina di Kedah pada minggu lalu.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu membandingkan batu asas majlis pecah tanah untuk projek Kedah Rubber City dengan papan tanda Pasar Awam Ayer Tawar di Perak yang turut memaparkan tulisan Cina dan Tamil, yang mengundang kritikan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari pada awal tahun ini.

"Modus operandi PAS ini kita dah lama tengok: 'Kami buat boleh, orang lain buat tak boleh'.

"Isu tulisan Cina di batu asas ini cuma contoh terbaru. Bila di halaman sendiri, mereka cipta seribu dalil. Bila di tempat lain, mereka jadi pahlawan bahasa,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Rafizi Ramli

Selepas batu asas tersebut mengundang perhatian ramai, Exco Industri dan Pelaburan Kedah, Haim Hilman Abdullah pada 20 November lalu menyangkal tanggapan penggunaan tulisa Cina pada batu asas tersebut menandakan kerajaan Kedah tidak menghormati bahasa Melayu

Menurutnya, kehadiran tulisan Cina pada batu asas adalah sebahagian daripada penghormatan terhadap identiti pelabur asing yang terlibat dalam projek tersebut, dan bahasa Melayu tetap digunakan termasuk dalam ucapan rasmi semasa majlis itu.

“Pelabur dari luar datang membawa teknologi, peluang pekerjaan dan rezeki untuk rakyat. Kita sebagai tuan rumah menghormati identiti mereka, sama seperti mereka menghormati bahasa dan budaya kita yang berbilang kaum," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berpandangan ia bukanlah isu yang besar, sebaliknya apa “yang lebih bahaya” ialah PAS memainkan sentimen Kedah kononnya dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, projek Kedah Rubber City menyangkal sentimen itu memandangkan ia dikelola oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), iaitu agensi di bawah Kementerian Ekonomi.

"Projek yang mereka canang-canangkan ini, Kedah Rubber City, hakikatnya adalah bukti  yang menyangkal dakwaan ini…Pelaburan kilang tayar ini bernilai dalam RM2 billion lebih.

"Maksudnya, dari awal, projek yang mereka berdiri di depannya untuk ambil gambar ini, adalah hasil usaha, perancangan, dan pembiayaan kerajaan Persekutuan," katanya.

Menyifatkannya sebagai “ironi terbesar”, dia berkata hujah “dianaktirikan” kerajaan Persekutuan hanyalah senjata politik untuk menutup kelemahan pentadbiran PAS sendiri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS