mk-logo
Berita
PAS tuntut penjelasan video dakwa PM tahu rancangan rakam pemimpin GRS
Diterbitkan:  Nov 25, 2025 10:23 PM
Dikemaskini: 2:23 PM

PAS menuntut penjelasan berhubung jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memberi lampu hijau kepada ahli perniagaan, Albert Tei untuk secara rahsia merakam ahli politik daripada gabungan sekutunya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung skandal perlombongan di negeri itu.

Ia selepas sebuah video mengejutkan disebarkan di media sosial petang ini, hanya beberapa hari sebelum hari mengundi PRN Sabah. 

Video tersebut, yang memaparkan perbualan antara Tei dan seorang wanita yang wajahnya dikaburkan, telah mencetuskan kontroversi baru.

“Kalau ikutkan pengakuan wanita yang wajahnya dikaburkan ini, Anwar sendiri yang arahkan supaya Tei (kalau benar itu suara dialah) rakam video dengan pemimpin GRS dalam isu rasuah tu,” kata Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari di Facebook.

Ahmad Fadhli Shaari

“Adakah Anwar sendiri yang awal-awal lagi rancang nak kenakan pemimpin GRS? Adakah pemimpin GRS sedar perkara ini? Siapa game siapa?”

“Apa yang penting, rakyat Sabah wajib tolak semua ini. SPRM wajib bertindak. Apa lagi bukti yang diperlukan? Saksi sudah ada, jelas dalam video ini,” katanya lagi.

Dalam video sepanjang enam minit yang dimuat naik di laman Facebook ‘Pejuang Tun Mahathir’, wanita itu – yang didakwa proksi kepada bekas pegawai kanan Anwar, Shamsul Iskandar Md Akin – memberitahu Tei yang Anwar telah memberikan restu kepadanya merakam ahli-ahli politik Sabah yang terpalit dalam skandal itu secara rahsia.

Tei mendakwa bahawa walaupun pen kamera itu miliknya, idea untuk membuat rakaman datang daripada Shamsul, dan perkara itu disahkan oleh wanita tersebut.

“Saya tanya (Shamsul) jika dia sudah beritahu Anwar tentang hal itu, dia jawab, ‘Ya. Anwar kata buat’,” kata Tei.

Wanita itu mengesahkan perkara tersebut dengan berkata: “Anwar kata ‘buat’, ‘buat’.”

Shamsul Iskandar dan Albert Tei

Apabila Tei – yang berkata dia merasakan dirinya “digunakan dan ditipu” – bertanya siapa yang mendapat manfaat paling besar daripada rakaman itu, wanita tersebut menjawab secara terus terang: “PMX lah.”

Menurut tanda masa pada video itu, rakaman tersebut dibuat pada Jumaat lalu. Malaysiakini telah menghubungi Shamsul dan pejabat Anwar untuk mendapatkan komen.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Tei mendakwa dia memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.

Menurut Tei, dia telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkap layar perbualan WhatsApp dan resit, untuk menyokong dakwaannya.

Antara lain, dia mendakwa telah membayar untuk pengubahsuaian, perkakas dan perabot untuk dua hartanah, satu di Bangsar, Kuala Lumpur dan kediaman pegawai kerajaan di Putrajaya.

Dia seterusnya mendakwa berbelanja ribuan ringgit untuk cerut premium dan menjahit beberapa sut untuk Shamsul.

Menurut Tei, dia diperkenalkan kepada Shamsul oleh seorang wanita yang dipercayai individu sama dalam video berkenaan. Pertemuan pertama mereka berlaku pada 8 November 2023, sekitar jam 10 malam di kedai cerut Jesselton Cigaro di Kota Kinabalu. Dia juga mendakwa memiliki bukti bahawa wanita itu bertindak bagi pihak Shamsul.

Tidak lama selepas Malaysiakini menghubungi Shamsul untuk mendapatkan respons, dia mengumumkan meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kanan Anwar dan berkata untuk mempertahankan diri daripada dakwaan tersebut.

Dia bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci dakwaan yang dikatakan sebagai percubaan untuk menyerangnya itu.

Tei sebelum ini beberapa kali mendakwa Anwar melindungi pemimpin GRS yang terkait dan menggunakan video-video itu untuk tujuan politik. Semalam, dia bertemu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung skandal tersebut.

Sejak November tahun lalu, Tei telah mendedahkan sejumlah video, dokumen dan tangkap layar perbualan WhatsApp yang mendakwa ahli politik di Sabah menerima rasuah sebagai pertukaran bagi lesen penerokaan mineral.

Tei dan dua wakil rakyat negeri itu kemudian dihadapkan ke mahkamah.

Pengerusi GRS dan Ketua Menteri sementara, Hajiji Noor bagaimanapun mendakwa Tei sebagai sebahagian daripada kartel yang berhasrat untuk memonopoli perlombongan di negeri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS