PN berkata, ada isu yang lebih besar dan serius selain daripada dakwaan rasuah yang melibatkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, seperti yang didedahkan pembocor maklumat, Albert Tei.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, berkata walaupun dakwaan tersebut serius, apa yang lebih membimbangkan ialah dakwaan penglibatan perdana menteri sendiri dalam skandal berkenaan.
“Adakah benar perdana menteri menggunakan kedudukannya untuk melindungi ahli-ahli politik GRS yang terbabit dalam kes rasuah lesen mineral Sabah sebagai balasan untuk mereka terus menyokong perdana menteri dan kerajaan Madani?
“Adakah benar perdana menteri menggunakan kes rasuah ahli-ahli politik GRS sebagai ugutan terhadap ahli-ahli politik tersebut?
“Perdana menteri tidak boleh mengelak daripada menjawab persoalan-persoalan ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Pendedahan Tei berhubung dakwaan skandal rasuah terus menarik perhatian ramai ekoran ia turut dikaitkan dengan orang yang dekat dengan kerajaan pusat, termasuk Anwar Ibrahim sendiri berbanding berlegar di sekitar ahli politik Sabah pada peringkat awal.
Kelmarin Tei mendakwa dia menyerahkan wang lebih RM600,000 kepada Shamsul Iskandar selain membantu bekas timbalan menteri itu membayar kos mengubah suai dua kediamannya masing-masing satu di Bangsar dan Putrajaya.
Tei juga mendakwa dia menyediakan dokumen setebal 300 halaman bagi menyokong dakwaan yang dibuatnya.

Shamsul Iskandar kemudian mengumumkan dia meletak jawatan atas alasan wujud cubaan menyerangkan dalam usaha pihak terbabit merosakkan imej kerajaan Madani.
Dia yang pernah menjadi Ahli Parlimen Hang Tua Jaya juga menegaskan akan mempertahankan diri daripada tuduhan tersebut.
Anwar pula semalam memberitahu menerima peletakan jawatan berkenaan dan memberi jaminan pihak berkuasa boleh menjalankan siasata tanpa sebarang campur tangan.
Kata Muhyididn video yang didedahkan oleh Tei itu memang menimbulkan beberapa persoalan yang amat membimbangkan mengenai integriti Anwar.
“Sementara itu, saya menggesa SPRM supaya menyiasat perdana menteri atas kesalahan salah guna kuasa,” katanya.
