Peguam kepada ahli perniagaan, Albet Tei berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki harus meletakkan jawatan atau mengambil cuti selepas dia dikaitkan dalam kes melibatkan bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin.
Mahajoth Singh berkata pada masa ini, ia adalah satu-satunya pilihan yang berwibawa buat Azam, sementara menunggu penubuhan sebuah badan siasatan yang benar-benar bebas dan adil.
“Ini bukan soal pandangan atau politik, tetapi undang-undang.
“Di saat kritikal ini, adakah kerajaan akan menegakkan kedaulatan undang-undang atau meneruskan jalan ‘pemerintahan melalui undang-undang’ (rule by law)?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam sebuah video pada 25 November lalu, seorang wanita yang didakwa sebagai proksi Shamsul berkata pemimpin PKR itu telah bertemu dengan Azam untuk memintanya menyelesaikan kes Tei.
“Dia (Shamsul) sendiri yang minta kalau boleh ringankan kes kamu, kalau boleh cuba selesaikan sebaik mungkin. Jangan sampai perkara itu berlarut-larut sampai banyak-banyak. Dia tak nak,” katanya, merujuk kepada skandal perlombongan di Sabah.
Video itu bagaimanapun tidak menyatakan bila dan di mana pertemuan tersebut didakwa berlangsung.
Wanita tersebut turut mendakwa Shamsul, yang merupakan bekas setiausaha sulit kanan Anwar Ibrahim, bertemu Azam kerana dia sendiri turut dikaitkan dengan isu skandal Sabah dan sebenarnya telah dipanggil oleh ketua pesuruhjaya SPRM itu.
“Dia cakap dengan saya. Dia cakap masa kes kamu dia pun kena panggil dengan Azam Baki. Dia cakap dengan Azam Baki memang dia ada tolong kamu untuk jumpa (ketua menteri sementara) Hajiji (Noor) apa semua. Dia bagi tahu untuk beritahu Hajiji, dia dengan Azam Baki pun baik bukan dia tak baik,” katanya.
Dalam perbualan yang sama, apabila Tei bertanya jika Shamsul memberitahu Azam bahawa rakaman berkaitan skandal Sabah itu “arahan PMX”, wanita itu menjawab: “Azam tahu”.
Semalam, PAS turut menyatakan Azam tidak lagi wajar terlibat dalam siasatan berhubung kes yang didedahkan Tei.
Mengulas lanjut, Mahajoth berkata SPRM tidak boleh lagi secara sah atau dipercayai untuk menyiasat kes itu selagi Azam masih mengetuainya.
Katanya, siasatan SPRM akan tercemar dari segi struktur, diragui dari segi undang-undang, dan secara asasnya bertentangan dengan keadilan serta keyakinan rakyat.
“Apabila ketua badan siasatan secara peribadi terkait dalam dakwaan yang sedang disiasat, badan itu tidak lagi dapat membuat siasatan yang berwibawa, adil dan sah di sisi undang-undang selagi ketua itu kekal memegang jawatan.
“Prinsip ini berasaskan kuasa kehakiman. Duluan sebelum ini menetapkan apabila badan penyiasat itu sendiri didakwa terlibat dalam kontroversi, siasatan mesti diserahkan kepada badan bebas bagi mengekalkan keyakinan rakyat,” kata Mahajoth lagi.
Terdahulu hari ini, wanita yang dirakam dalam video tular itu menafikan dia dia menjadi proksi kepada Shamsul dan tidak pernah berjumpa Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan yang dibuat Tei.
Sofia Rini Buyong juga menyifatkan perkara itu sebagai “konspirasi jahat” untuk mencemarkan nama Anwar dan Shamsul.
