Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Radu tatap radu’ - Bersih tegur calon BN 'kempen' hari undi

Pemantau pilihan raya Bersih menegur calon BN bagi DUN Tanjung Keramat, Jeffery Nor Mohamed, susulan dakwaan dia berkempen pada hari mengundi hari ini.

Pemangku pengarah eksekutif Bersih, Asraf Sharafi Mohammad Azhar berkata tindakan sedemikian melanggar Seksyen 26 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Menjadi satu kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 26 AKPR 1954 Batasan Hari Pengundian untuk berkempen, termasuk merayu atau meraih undi dengan apa jua cara.

"Hari pengundian sepatutnya bebas daripada sebarang unsur kempen agar pengundi dapat membuat keputusan dengan bebas,” kata Asraf kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas isu ini.

Dakwaan kesalahan itu berlaku kurang 100 meter dari SMK Putatan, salah satu dari tujuh pusat mengundi di Tanjung Keramat, tempat Jeffery dan 26 ahli keluarganya mengundi lebih awal.

Sebaik keluar dari sekolah itu, ketua Umno Putatan tersebut menyapa pengundi yang tiba dan beberapa kali mengingatkan mereka supaya mengundi “Nombor 3”, iaitu nombor calonnya di atas kertas undi dalam pertandingan 11 penjuru.

Dia turut berhenti bergambar dengan penyokong sambil menunjukkan isyarat “Nombor 3”.

Bercakap kepada Malaysiakini, Jeffery berkata, “kita harap proses pengundian berjalan lancar hari ini. Hujan sudah berhenti.”

“Kita doa hujan terus berhenti dan saya menggesa semua supaya keluar menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Sabah dan rakyat Malaysia,” katanya.

“Saya lihat kempen berjalan lancar […] Saya tak nampak banyak isu dan saya harap hari ini akan terus berjalan baik,” tambahnya.

Ketika Jeffery meneruskan perjalanan, dia bertembung dengan kumpulan penyokong BN yang lebih besar menunggu berhampiran hentian bas sekolah sambil melambai dan bersorak ke arah kereta yang lalu.

Salah seorang penyokong mengetuai kumpulan itu, bersama Jeffery, melaungkan sorakan BN: “Radu tatap radu! Radu sampai menang.” (Lawan tetap lawan, lawan sampai menang).

BN melalui Umno kini dalam misi merampas kembali kerusi Tanjung Keramat daripada penyandangnya, Shahelmey Yahya, yang sebelum ini bertanding dan menang atas tiket BN tetapi kemudian berpaling tadah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lalu dilantik sebagai timbalan ketua menteri dalam pentadbiran ketua menteri Hajiji Noor.

Shahelmey, yang juga ahli parlimen Putatan digantung sebagai ahli Umno dan turut dikaitkan dalam skandal rasuah perlombongan Sabah.

Dia pada awalnya disebut-sebut akan mempertahankan kerusi Tanjung Keramat di bawah tiket GRS tetapi kemudian menyatakan sokongan kepada abangnya, Shah Alfie.

Mengulas lanjut, Asraf berkata “hari mengundi sepatutnya bebas daripada sebarang elemen kempen supaya pengundi boleh membuat keputusan dengan bebas.”

Setakat 10 pagi, SPR mengumumkan bahawa 366,917 pengundi, atau 21.05 peratus daripada jumlah keseluruhan 1.7 juta pengundi berdaftar, telah keluar mengundi sejak proses bermula pada 7.30 pagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS