Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Lee Chean Chung memberi amaran keras gegaran politik daripada pilihan raya Sabah baru-baru ini boleh membesar menjadi gelombang penolakan di seluruh negara sekiranya PH gagal menangani kekecewaan pengundi yang semakin ketara.
“Itu adalah amaran bahawa integriti PH dan tawaran progresifnya kelihatan kabur dan tidak boleh diharap,” kata Lee menegaskan kekalahan itu tidak harus dianggap sebagai kejanggalan bersifat setempat.
“Ini bukan isu Sabah semata-mata — tanpa perubahan sebenar, gelombang penolakan di seluruh negara mungkin menyusul. Jangan sekali-kali mengambil mudah sokongan pengundi bandar,” tulis ahli parlimen Petaling Jaya itu di Facebook.
Pilihan raya Sabah yang berakhir malam tadi menyaksikan parti-parti PH seperti DAP dan PKR serta Bersatu dan PAS daripada PN — yang biasanya memiliki kekuatan besar di Semenanjung — sama ada tersingkir sepenuhnya atau tewas dalam kebanyakan kerusi.

DAP kehilangan kerusinya kepada Warisan manakala PKR hanya menang satu daripada 13 kerusi yang ditandingi.
Kebimbangan Lee turut disuarakan oleh bekas ahli parlimen Klang, Charles Santiago yang menggambarkan kekalahan besar DAP di Sabah sebagai satu keputusan tegas daripada pengundi — khususnya pengundi Cina yang secara tradisinya menjadi teras sokongan parti berkenaan.
“Kekalahan teruk DAP di Sabah lebih daripada sekadar gegaran politik setempat. Ia satu gelombang penolakan sepenuhnya, terutama daripada pengundi Cina yang pernah menjadi asas paling setia parti,” kata Charles dalam kenyataan hari ini.
“Bila penyokong paling setia pun berpaling, itu bukan lagi tanda amaran; itu sudah satu keputusan.”

Menurutnya, kemarahan yang kelihatan di Sabah kini sedang bergelora di Semenanjung, tatkala pengundi semakin letih dipandang remeh, letih dengan isyarat bercampur-campur dan penat dengan parti yang kelihatan tidak pasti pendiriannya setiap kali kuasa menjadi pertaruhan.
Charles berkata DAP perlu kembali kepada perkara pokok isu-isu rakyat, kos sara hidup, rezeki, tadbir urus, akauntabiliti, ketelusan dan perkhidmatan awam.
“Itulah asas yang membina reputasinya; bukan permainan politik atau akrobatik gabungan. Hilang fokus pada perkara ini adalah punca ia kehilangan Sabah.”
Katanya wujud persepsi keangkuhan yang telah mencalar identiti parti sebagai gerakan berteraskan rakyat.

“Untuk terus hidup, ia mesti kembali menjadi parti rakyat,” katanya.
“Berpijak di bumi nyata, berdisiplin dan fokus kepada khidmat — bukan bersandiwara.”
"Keputusan Sabah bukan kebetulan. Ia satu mesej. Sama ada DAP mendengarnya sekarang akan menentukan sama ada ini sekadar satu kemunduran atau permulaan kepada kemerosotan di seluruh negara."
