Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas memperoleh blok kedua terbesar dalam pilihan raya negeri, Presiden Warisan Shafie Apdal berikrar untuk terus memperjuangkan perpaduan dalam kalangan parti-parti berasaskan Sabah dan menggerakkan pembentukan gabungan politik yang sepenuhnya dipimpin oleh Sabah.

Warisan memenangi 25 kerusi dalam pilihan raya negeri tersebut, menjadikannya parti tunggal terbesar di Sabah.

Shafie berkata keputusan itu menunjukkan ramai pengundi mahu hal ehwal negeri diterajui kepimpinan tempatan, bukan oleh gabungan yang ditentukan dari Putrajaya.

“Kami menerima hampir 300,000 undi. Mesejnya jelas, Sabah mahukan kepimpinan yang bersih, berintegriti dan suara yang memahami keperluannya,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Warisan di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Shafie berkata Warisan mencatat peningkatan paling ketara di kawasan bandar, dengan sokongan besar daripada kerusi majoriti Cina.

Ia merujuk kepada kejayaan parti itu menewaskan DAP sepenuhnya dalam pilihan raya semalam.

Warisan juga memberi tamparan hebat kepada PKR, sehingga parti itu hanya memenangi satu kerusi sahaja.

Mengulas lanjut, Shafie menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku sepanjang 36 tahun kerjayanya dan mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana menyokong mesej “Sabah didahulukan” yang dibawa Warisan.

Katanya lagi, sokongan lebih meluas di kawasan bandar serta sokongan pelbagai kaum meletakkan Warisan dalam kedudukan kukuh menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Kepercayaan yang rakyat Sabah berikan kepada kami, khususnya komuniti Cina, akan kami pelihara. Warisan akan terus memperjuangkan perpaduan dan sebuah gabungan politik yang benar-benar dipimpin Sabah,” katanya.

Shafie berkata matlamat utama Warisan juga kekal sama iaitu membina sebuah gabungan politik Sabah yang bersatu, mampu mentadbir negeri dan pada masa sama mengekalkan hubungan konstruktif dengan kerajaan Persekutuan.

“Kami boleh bekerjasama dengan parti nasional di Kuala Lumpur, tetapi Sabah mesti ditadbir oleh parti-parti Sabah,” tegasnya.

Bagaimanapun, mengulas jika ini termasuk berpakat dengan GRS, Shafie berkata Warisan terbuka untuk bekerjasama dengan “parti tempatan” namun menegaskan bahawa label itu semata-mata tidak mencukupi.

“Apa yang penting ialah kepimpinan, tadbir urus dan sama ada mereka benar-benar mewakili Sabah,” katanya.

Presiden Warisan itu turut mendakwa pilihan raya tersebut menyaksikan penggunaan wang yang berleluasa dan mendakwa terdapat pelanggaran peraturan yang dilaporkan pada hari mengundi.

“Penggunaan wang begitu ketara. Sabah tidak boleh digerakkan oleh budaya ini. Kita sebuah negeri yang kaya, tetapi politik wang akan menghancurkan kita,” katanya.

Menurut Shafie lagi, walaupun parti itu berdepan cabaran namun Warisan tetap meningkatkan jumlah kerusinya kepada 25, sekaligus menyifatkan ia sebagai tanda kepercayaan jangka panjang daripada pengundi.

Sementara itu, Shafie juga turut menafikan dakwaan pihaknya mengadakan sebarang pertemuan dengan parti-parti Sabah untuk merundingkan pembentukan kerajaan negeri baru sebaik sahaja selesai pilihan raya semalam.

“Wallahi, wabilahi, watallahi, saya tidak bertemu mana-mana pemimpin. Kami mahukan perpaduan, tetapi bukan dengan menggadaikan kepercayaan rakyat,” katanya, merujuk kepada laporan bahawa Warisan mengadakan rundingan rahsia dengan BN.

Pada PRN Sabah semalam, BN hanya memenangi enam kerusi.

Shafie berkata mana-mana kerajaan negeri baru mesti stabil dan tidak “dikawal” oleh tuntutan projek, kontrak atau jawatan sekiranya rundingan dilakukan untuk membentuk gabungan dengan kumpulan politik lain.

Dalam kenyataan berasingan, Presiden Upko Ewon Benedick mengesahkan tiga Adun partinya menyokong parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Namun, Ewon menegaskan sokongan itu mesti berasaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Ewon membawa Upko keluar daripada PH dan menjadi pembangkang kepada GRS sebelum pilihan raya kerana tidak setuju dengan pendirian Putrajaya mengenai tuntutan 40 peratus hasil yang sepatutnya dikongsi bersama Sabah.

Dengan menyokong GRS sekarang, bermaksud Upko juga akan menjadi rakan gabungan PH dalam kerajaan negeri.

GRS menang 29 kerusi manakala PH (1), Upko dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star 2 kerusi), gabungan itu mempunyai 35 kerusi dua kerusi kurang daripada majoriti mudah.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Adun Sulaman, Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah yang baru awal pagi tadi, dipercayai dengan mendapat sokongan daripada lima calon bebas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS