Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia tidak akan melakukan rombakan kabinet secara besar-besaran, sebaliknya hanya akan mengisi kekosongan bagi beberapa jawatan menteri.
Walaupun terdapat desakan dan spekulasi mengenai kemungkinan rombakan kabinet, Anwar menjelaskan bahawa pertimbangan semasa menunjukkan tiada keperluan untuk perubahan menyeluruh.
Ini, katanya memandangkan tempoh pentadbiran kerajaan Madani sekarang hanya berbaki sekitar setahun setengah.
“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan. Namun, rombakan besar tidak sesuai kerana kabinet ini hanya akan berfungsi untuk tempoh setahun lebih atau setahun setengah, jadi saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan.
"Bagaimanapun, saya sedang merenung apakah langkah yang harus diambil tapi mengisi kekosongan itu ada keperluan," katanya kepada pemberita selepas majlis peluncuran model kenderaan elektrik pertama (EV) keluaran Perodua, QV-E di Kuala Lumpur, hari ini.
Mulai esok, terdapat sekurang-kurangnya dua kekosongan yang perlu diisi.
Awal November lalu, Presiden Upko, Ewon Benedick, meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berikutan tidak sependapat mengenai tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.
Kekosongan itu belum diisi.
Sementara itu, tempoh pelantikan kali kedua dan terakhir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai senator tamat mulai esok.
Tempoh tiga lagi menteri yang juga senator – Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar – juga berakhir pada tarikh sama.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka masih dalam penggal pertama dan berkemungkinan besar akan disambung untuk tempoh tiga tahun lagi.
Sebelum ini dua menteri – Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad – meletakkan jawatan setelah tewas dalam pemilihan PKR.
Anwar mengisi kekosongan tersebut dengan meminta dua menteri iaitu Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Ghani – menggalas portfolio berkenaan.
