Rombakan kabinet dijangka berlaku tidak lama lagi selepas Presiden Upko, Ewon Benedick, meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berikutan tidak sependapat mengenai tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.
Sekurang-kurangnya akan akan dua kekosongan selepas 2 Dis ini, apabila tempoh pelantikan kali kedua dan terakhir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai senator tamat.
Tempoh tiga lagi menteri yang juga senator – Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar – juga akan berakhir pada tarikh sama.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka masih dalam penggal pertama dan berkemungkinan besar akan disambung untuk tempoh tiga tahun lagi.
Sebelum ini dua menteri – Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad – meletakkan jawatan setelah tewas dalam pemilihan PKR.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengisi kekosongan tersebut dengan meminta dua menteri iaitu Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Ghani – menggalas portfolio berkenaan.

Kementerian yang diketuai Ewon dianggap kecil dan mungkin digabungkan dengan kementerian lain, seperti Pembangunan Luar Bandar yang diterajui Ahmad Zahid Hamidi yang turut melibatkan program keusahawanan.
Namun, portfolio perdagangan yang dipegang Zafrul dianggap penting dan mungkin memerlukan pengganti menteri bagi memastikan tumpuan penuh terhadap usaha menarik pelaburan dan perdagangan dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.
Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mungkin menggantikan Zafrul.
Ini kerana Amirudin dikatakan berpengalaman memimpin negeri paling maju di Malaysia dan menjadi destinasi utama pelaburan asing itu.

Langkah menaikkan Amirudin juga membantu PKR mengisi kuota dalam kabinet selepas Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan.
Ini juga akan membolehkan Anwar melantik pemimpin politik yang lebih rapat dengannya di Selangor.
Spekulasi mengatakan perdana menteri cenderung memilih Adun Seri Setia, Fahmi Ngah untuk menggantikan Amiruddin.
Selain Amirudin, Fahmi merupakan calon yang dipertimbangkan untuk jawatan menteri besar Selangor selepas pilihan raya negeri pada 2023.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, memberitahu media pada Ahad bahawa Anwar dijangka memberi taklimat kepada kabinet mengenai khabar angin rombakan tersebut pada Selasa ini.
Selain mengisi kekosongan, rombakan ini juga mungkin menjadi peluang terakhir bagi Anwar memperbaiki persepsi rakyat terhadap kabinetnya menjelang pilihan raya umum yang dijangka diadakan seawal tahun 2027.
