Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Rombakan Kabinet: Siapa perlu dipilih sebagai menteri agama?

Pilihan raya Umum Dewan Undangan (DUN) Sabah berakhir dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk kerajaan atas sokongan beberapa parti tempatan seperti Upko, Star dan Bebas. PH juga sebagai sekutu rapat GRS bersama dalam kerajaan baru yang ditubuhkan meskipun hanya memenangi satu kerusi sahaja di Melalap.

Namun pilihan raya kali ini memberi petanda yang sangat duka buat PH apabila pengundi Cina mengalihkan sokongan mereka dari PH kepada Warisan. Kesannya daripada 21 kerusi yang ditandingi, parti pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tewas 20 kerusi.

Mahu atau tidak, PH perlu melakukan langkah pemulihan dan pencegahan awal bagi mengelakkan sentimen pengundi Cina ini menular ke Semenanjung. Amat pasti bahawa Anwar selaku pengerusi PH tidak lagi boleh melakukan sebarang tindakan secara solo atau ‘veto’ dalam meletakkan kedudukan PH. Sebaliknya mengambil pandangan semua parti komponen PH termasuk DAP dan Amanah bagi menentukan langkah politik PH di masa hadapan.

Selain mengepung undi Cina sebagai undi tetap PH, PH juga wajar meneroka undi Melayu-Islam untuk memecahkan dominasi PN di kerusi majoriti Melayu. Dengan cara itu, PH akan meminimumkan jumlah kerusi PN seterusnya PH kekal memimpin kerajaan persekutuan bersama rakan kerajaan perpaduan pasca-PRU16. Dicatatkan dalam tulisan sebelum ini dalam rencana bertajuk Rombakan kabinet menuju PRU ke-16, salah satu usaha ke arah meneroka undi Melayu-Islam adalah dengan meletakkan seorang menteri yang arif dalam ilmu agama serta mahir dalam seni politik untuk duduk dalam kabinet Madani.

Kedudukan seorang menteri itu bukan sekadar bertugas sebagai menteri yang menjaga agama Islam seperti aktiviti dakwah dalam kerajaan semata-mata. Tetapi yang lebih utama menjadi perisai kepada serangan berbentuk kaum dan agama yang ditujukan kepada kerajaan. Bukannya aktiviti dakwah tidak penting bawah portfolio menteri agama, namun aktiviti dakwah sahaja tidak mampu mengekang naratif palsu bersulam kaum dan agama yang dimainkan oleh pihak anti-Madani. Segala usaha murni kerajaan dalam bentuk dakwah dihanguskan oleh manipulasi fakta oleh kelompok tertentu bagi memastikan imej Islam terancam bawah Madani terpancar jelas. Justeru siapakah orang yang paling layak membendung naratif ini? Tidak lain tidak bukan adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menteri agama duduk dalam kabinet Madani mempunyai legitimasi atau kewibawaan untuk menjawab segala tohmahan berbentuk isu agama dan kaum yang ditujukan kepada kerajaan Madani. Jawapan atau bidasan dari seorang menteri agama itu dianggap sebagai wakil kepada kerajaan. Ia menjadi satu bentuk benteng yang memadamkan semua dakyah jahat pihak lawan kepada Madani. Pun begitu andai menteri agama telah pun berperanan sebagai perisai naratif agama kepada kerajaan Madani, ia mestilah menjadi perisai yang kuat dan berkesan. Bukan sekadar perisai tanpa sebarang hasil membantu kerajaan.

Oleh itu, seorang yang arif tentang ilmu agama dan juga kaya dengan pengalaman dalam politik diletakkan sebagai menteri agama. Menjawab serangan pihak anti-Madani perlulah dalam kerangka politik dan bukan lagi dalam kerangka dakwah. Kerangka dakwah boleh kita kirimkan kepada tok mufti, ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ataupun Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Namun serangan anti-Madani semestinya dalam bentuk politik yang berunsur agama, justeru menteri agama mestilah seorang yang mahir dalam sepak terajang politik, berpengalaman dalam pentadbiran serta mempunyai pengaruh sebagai pemimpin politik agama yang besar dalam arus negara bagi memastikan jawapan atau bidasan kepada serangan tersebut dibuat dalam kerangka politik dan berjaya membendung serangan tersebut.

Kabinet PRU16

Jadi siapakah menteri agama tersebut? Kita andaikan bahawa Mohd Naim Mokhtar, menteri agama, tidak disambung khidmatnya sebagai ahli Dewan Negara bagi penggal kedua. Maka Anwar selaku perdana menteri perlu meletakkan seorang yang benar-benar berkebolehan dan mempunyai ciri-ciri seperti yang dinukilkan di atas memandangkan rombakan kabinet kali ini tentunya kabinet yang akan Anwar bawa menuju PRU ke-16. Kegagalan Anwar menyusun kabinet yang kompeten kali ini akan memberi kesan kepada prestasi PH dalam pilihan raya, dengan itu mungkin Anwar dan PH tidak mampu lagi memimpin kerajaan persekutuan seperti sekarang.

Buat masa ini, hanya Mujahid Yusof Rawa sahaja dilihat paling layak dan sesuai untuk diangkat sebagai menteri agama. Mengapa beliau? Pertama kita perlu lihat, dalam senarai ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara blok kerajaan, hanya Mujahid orang yang paling kompeten diletakkan di posisi tersebut. Beliau merupakan bekas menteri agama dalam kerajaan PH sebelum ini. Sudah tentu beliau mempunyai pengalaman dalam hal ehwal pentadbiran negara atas ruang yang pernah beliau alami sebelum ini. Rombakan ini perlu mengurangkan kesilapan dan kelemahan, justeru lebih selamat jika bekas menteri yang sudah berada di parlimen baik sebagai wakil rakyat atau senator diserap dalam kabinet perang Madani.

Dari sudut kekananan dalam politik, Mujahid merupakan ahli dalam Majlis Presiden PH atas kapasiti timbalan presiden Amanah. Seharusnya kapasiti itu perlu dimanfaatkan oleh PH sebaik mungkin untuk menyempurnakan kabinet perang Madani. Bukankah sebelum ini penulis mencatatkan bahawa menteri agama sebagai perisai kepada kerajaan Madani dari sudut naratif agama, jadi perlunya seorang wakil dalam Majlis Presiden PH duduk sebagai menteri agama agar keselarasan gerak kerja antara kerajaan dan PH berlaku dan memberi impak dalam PRU akan datang.

Mujahid merupakan pemimpin utama Amanah selepas Mohamad Sabu, Ahmad Awang dan Ghani Shamsuddin, justeru memilih seorang pemimpin utama Amanah sebagai menteri agama merupakan satu pengiktirafan dan peluang dari Anwar kepada Amanah. Hal ini demikian kerana, Amanah merupakan satu-satunya parti berkonsepkan, bermatlamatkan dan berjuang atas nama politik Islam dalam kerajaan perpaduan, maka apabila Anwar memberikan posisi menteri agama itu kepada Dr Mujahid, ia sebagai satu peluang besar untuk Amanah menterjemahkan perjuangan politik Islam yang dibawa oleh Amanah. Kejayaan sebagai menteri agama kelak akan menjadikan Amanah bukan lagi sebagai parti retorik, sebaliknya parti yang praktikal membumikan syiar Islam mengikut keadaan Malaysia.

Pun begitu, kita tahu bahawa Mujahid mungkin akan mengalami serangan politik yang sama seperti semasa kerajaan PH 1.0 dulu yang memberi kesan kepada kerajaan. Tetapi sesiapa sahaja yang berada di posisi itu, akan tetap diserang segenap penjuru untuk menggambarkan Islam sedang terancam. Pentingnya adalah siapa yang berupaya menangkis serangan tersebut secara tuntas. Tidak menjadi menteri agama sekalipun, Mujahid kerap kali memberikan pandangannya atas kapasiti sebagai bekas menteri dan pemimpin parti politik Islam dalam isu kaum dan agama yang berbangkit. Baik isu berbentuk natural atau yang dimanipulasikan, Mujahid tidak gentar dan yakin menzahirkan pandangannya yang bersendikan ilmu agama.

Oleh yang demikian, peluang rombakan kabinet kali ini mesti digunakan sehabis baik oleh Anwar untuk membawa Mujahid ke dalam kabinetnya, bukan untuk Anwar semata-mata, tetapi demi mengekalkan kelangsungan politik PH dan Kerajaan Perpaduan menuju PRU ke-16. Meredakan ledakan isu kaum dan agama akan memberi peluang PH meneroka undi Melayu-Islam selain mengepung semula undi bukan Melayu dalam baki dua tahun dari sekarang. Apakah track record Mujahid baik sebagai menteri? 


ABDUL JALIL IBNU adalah pemerhati dan penulis politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS