Naib Presiden Warisan, Junz Wong, menolak kemungkinan wujudnya gabungan pasca pilihan raya yang stabil antara partinya dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan menuduh pemimpin GRS mengabaikan mandat pengundi yang mahukan kerajaan dipimpin sepenuhnya oleh rakyat Sabah.
Dalam temu bual bersama Malaysiakini, Wong berkata rasa tidak puas hati rakyat terhadap kemasukan BN dalam kabinet negeri baru yang diterajui Ketua Menteri Hajiji Noor adalah wajar, memandangkan mesej jelas telah diberikan melalui keputusan pilihan raya baru-baru ini.
“Memang boleh difahami. Jika dilihat keputusan itu, rakyat Sabah merentas kaum dan agama jelas mahu kerajaan milik Sabah sendiri, sama seperti di Sarawak,” kata Wong kepada Malaysiakini di Kota Kinabalu.
Kerjaan GRS Plus diterajui Hajiji turut memasukkan satu-satunya Adun BN, Jafry Ariffin, sebagai menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri, manakala satu-satunya Adun PH, Jamawi Jaafar, dilantik sebagai menteri pertanian, perikanan dan industri makanan.
Wong berkata tingkah laku pengundi merentas komuniti menunjukkan corak yang konsisten: kawasan majoriti Cina banyak menyokong Warisan; banyak kerusi majoriti Muslim beralih kepada Warisan, Umno dan GRS; manakala kawasan Kadazan-Dusun-Murut (KDM) secara besar-besaran memilih parti tempatan, walaupun mengundi gabungan berbeza.

“Mesejnya sangat jelas. Pengundi mahu parti Sabah. Daripada 73 kerusi, hanya seorang calon PH yang menang. Ramai yang lain malah hilang deposit. Keutamaan jelas berpihak kepada parti berasaskan tempatan,” katanya.
Wong yang mempertahankan kerusi Tanjung Aru untuk penggal ketiga dalam pilihan raya negeri baru-baru ini mengalahkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, dalam pertandingan sembilan penjuru.
DAP pula tersingkir sepenuhnya dari Sabah selepas kesemua lapan calonnya termasuk pengerusi negeri, Phoong Jin Zhe, tewas kepada Warisan.
‘Khianati mandat’
Mengulas lanjut, Wong mengkritik pemimpin GRS yang meraih sokongan kuat komuniti KDM tetapi kemudian bekerjasama dengan BN — langkah yang menurutnya bertentangan dengan slogan mereka sendiri, “Rumah Kita, Kita Jaga”.
“Rakyat tertanya-tanya mengapa pemimpin yang diberi amanah undi KDM memilih untuk memasukkan parti berasaskan Persekutuan.
“Ia terasa seperti pengkhianatan. Jumlah mereka pun tidak signifikan,” katanya.
Dia menegaskan bahawa Warisan tidak akan menyertai kerajaan yang mengkhianati mandat pengundi.
“Kami tidak sanggup menggadaikan kepercayaan rakyat Sabah semata-mata untuk jawatan. Jika inilah haluannya, kami akan kekal sebagai pembangkang dan terus memperjuangkan blok Sabah yang kuat,” katanya.

Warisan kini memegang 25 kerusi daripada 73 kerusi DUN Sabah.
‘Perbincangan GRS–Warisan tercemar oleh permusuhan lama’
Sementara itu, Wong mengakui bahawa sebelum pilihan raya, gabungan Warisan–GRS pernah dipertimbangkan secara dalaman demi kestabilan politik.
Namun, dia merujuk sejarah panjang isu lompat parti dan rundingan yang gagal.
Dia mengingatkan bagaimana kerajaan Warisan sebelum ini tumbang kerana tindakan lompat parti, diikuti dakwaan bahawa GRS terus memancing Adun Warisan walaupun bercakap mengenai “kestabilan”.
“Anda bertemu mereka untuk bincang tentang kestabilan, tetapi kemudian mereka membeli YB anda. Itulah yang berlaku,” katanya.
Rundingan kerusi juga mustahil dijayakan, tambah Wong, dengan merujuk Karambunai dan Tanjung Kapor sebagai contoh kerusi yang GRS enggan lepaskan walaupun pernah dipegang Warisan.
“Terlalu banyak insiden buruk sebelum pilihan raya.
“Namun selepas pilihan raya, kami sangka kami boleh bermula semula, menerima mandat rakyat, dan membentuk kerajaan Sabah bersama,” katanya.

Sebaliknya, menurut Wong, GRS memilih untuk bekerjasama dengan parti berasaskan Persekutuan yang “paling ditolak”.
“Ia membuatkan kami tiada pilihan selain terus berjuang. Rakyat Sabah mahukan kerajaan Sabah, tetapi itu tidak berlaku,” katanya.
‘Jangan harap kemajuan dalam tuntutan 40 peratus’
Wong turut meragui kemampuan kerajaan baru untuk memperjuangkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang lama tertangguh.
“Jika rakyat Sabah menyerahkan tuntutan 40 peratus ini kepada kerajaan sekarang, ia tidak akan ke mana-mana. Itu realitinya,” katanya.
Dia menegaskan bahawa Warisan akan kekal dengan prinsipnya.
“Kami perlu berpegang pada perjuangan untuk Sabah. Jika pihak lain memilih jalan berbeza, kami akan kekal sebagai pembangkang yang kuat,” katanya.
