Berdepan pertuduhan menerima suapan daripada ahli perniagaan Albert Tei, bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Md Akin, berikrar untuk membersihkan namanya.
Bercakap kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas didakwa dengan empat pertuduhan menerima rasuah, Shamsul Iskandar – ditemani pasukan peguam – berjanji mematuhi sepenuhnya proses undang-undang.

“Insya-Allah, saya akan buktikan saya tidak bersalah. Kita akan ikut jalur hukum proses mahkamah.
“Dan sejak dari awal, seperti rakan-rakan media tahu, saya mengambil sikap proaktif dan memberikan kerjasama kepada SPRM untuk menyelesaikan siasatan dan insya-Allah membersihkan nama saya. Saya berdoa dan minta rakan-rakan doakan supaya kebenaran akan dapat kita capai,” katanya.
Shamsul Iskandar berdepan empat pertuduhan menerima suapan RM176,830 daripada Tei – yang turut didakwa memberi rasuah – didakwa bagi membantu syarikat-syarikatnya mendapatkan lesen perlombongan mineral di Sabah.
Pertuduhan itu termasuk dua dakwaan menerima wang tunai berjumlah RM140,000, manakala bakinya berupa perabot dan peralatan.
Peguam Shamsul Iskandar, Amer Hamzah Arshad, berkata pemimpin PKR Melaka itu konsisten menafikan semua tuduhan.

“Beliau sejurus, selepas berita atau tohmahan dikeluarkan telah membuat laporan polis di Sandakan semasa ketika itu beliau berada di Sabah untuk kempen,
“Beliau telah membuat laporan polis untuk membersihkan tohmahan tohmahan yang telah dilemparkan ke atas beliau dan juga ke atas PMX (Anwar),” kata Amer Hamzah.
Sementara itu, seorang lagi peguamnya, Yusmadi Yusoff, memberi peringatan kepada para pengulas dalam talian.
“Kes ini baru bermula, tak perlu kita berspekulasi kerana saya lihat banyak juga komen-komen yang saya rasa yang agak melampaui batas dan saya tidak teragak-agak untuk melihat mana-mana komen komen yang melampaui daripada apa yang sepatutnya,” katanya.

Shamsul Iskandar dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM atas pertuduhan menerima rasuah, manakala Tei pula didakwa mengikut Seksyen 17(b) kerana memberi rasuah.
Kedua-dua kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali jumlah suapan.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Suzana Hussin, yang mendengar kedua-dua kes, hari ini menetapkan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin untuk Shamsul Iskandar dan RM70,000 dengan dua penjamin untuk Tei.
Diiringi pasukan peguam, Shamsul Iskandar meninggalkan kompleks mahkamah jam 1.13 tengah hari diiringi laungan “Bebas! Bebas! Bebas Shamsul!” dan “Tolak Fitnah!”
