Ahli perniagaan Albert Tei memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menjawab sejumlah tuntutan berkaitan pertuduhan baharu berhubung tawaran rasuah dalam skandal lombong Sabah.
Bercakap kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejurus selepas membayar ikat jamin RM70,000, Tei berkata tuntutannya merangkumi penjelasan berhubung rakaman CCTV dari rumahnya pada 28 Nov – hari dia ditahan – selain beberapa kejadian yang didakwa berlaku semasa dan sebelum tangkapan.

“Saya menuntut penjelasan dalam tujuh hari termasuk (rakaman) CCTV itu dan sama ada dia beri arahan kepada Shamsul hantar mesej kepada saya.
“Bayangkan — Shamsul adalah setiausaha politik kanan, orang kanan, orang nombor dua kepada perdana menteri. Kalau dia pun saya tak boleh percaya, siapa lagi saya boleh percaya?” kata Tei, yang berdepan empat pertuduhan menawarkan rasuah RM176,830 kepada Shamsul Iskandar, yang turut didakwa menerima habuan itu.
“Saya bagi (Anwar) masa tujuh hari jawab segala tuntutan saya, kalau gagal jawab kamu harus letak jawatan,” kata Tei, mengakhiri sidang media itu dengan laungan “reformati!” (reformasi sudah mati) sebanyak tiga kali.
‘Anwar arahkan rakam video?’
Tei turut mendakwa bahawa Shamsul Iskandar — yang telah meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kanan — pernah memaklumkan kepadanya: “Anwar suruh rakam (video) Adun Sabah yang terlibat dalam skandal rasuah ini.”

Tei, yang sebelum ini didakwa memberi rasuah kepada dua bekas Adun Sabah, merujuk siri pendedahan videonya sejak November tahun lalu yang mengaitkan lebih 12 wakil rakyat dalam pentadbiran ketua menteri Hajiji Noor sebelum ini.
“Kenapa daripada November 2024 saya asyik memperjuangkan ini skandal rasuah Sabah? Sebab di belakang ada satu dalang, ada satu jerung yang terbesar.
“Jadi saya ingin tanya adakah Anwar Ibrahim telah disiasat? Adakah dia telah diambil statement?”
Menurut Tei, dia ada bertanya kepada Shamsul Iskandar apakah benar tindakan itu dibuat atas arahan perdana menteri.
“Dia (Shamsul)kata ‘dia sudah bincang dengan perdana menteri dan perdana menteri panggil buat’.
“Sebab ini video rasuah boleh ambik untuk ugut mereka, untuk kepentingan politik. Baru saya berani buat!” kata Tei.
‘SPRM acukan pistol seperti 1998’
Tei juga mengulangi dakwaan — yang sudah dinafikan MACC — bahawa anggota suruhanjaya agensi itu mengacukan pistol ke arahnya semasa serbuan.
“Bila dia (SPRM) ambush (serbu) saya turun buka pintu, tingkap, ada satu pegawai dia pakai sarung muka macam syaitan, sangat dasyat!

“Pistol itu dia acu pada saya, dia panggil saya ‘buka pintu! buka pintu!’ Tetapi pintu itu dia orang pecah, safety lock (selak keselamatan) sudah ikat mati. Bukan saya tak mahu buka.”
Tei turut menyamakan cara dia ditangkap dengan cara Anwar ditahan pada 1998 — tetapi mendakwa dirinya diperlakukan lebih kasar.
“Saya nampak mata dia (anggota SPRM), memang saya percaya dia akan tembak saya. Dan mereka kata mereka SPRM tapi saya tak nampak apa-apa kad kuasa, apa-apa waran.
“Namun masa Anwar (dahulu) tidak digari, dia tak dibaring untuk diikat dengan kabel.
“Apa yang mereka buat pada saya sama seperti apa yang berlaku pada dia (Anwar) pada 1998,” kata Tei, yang sebelum ditahan dilihat bersama dengan Dr Mahathir Mohamad — tokoh yang memecat Anwar sebagai timbalannya pada ketika itu.
Pengerusi MACC Azam Baki sebelum ini menegaskan penangkapan Tei dibuat mengikut prosedur, dan laporan polis telah dibuat supaya siasatan dijalankan terhadap dakwaan “fitnah” ke atas pegawainya.
