Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan hak asasi kecam Pemuda PAS cuba bisukan NGO pro-LGBTQ+
Diterbitkan:  Dec 5, 2025 12:20 PM
Dikemaskini: 4:20 AM

Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesamarataan Gender (JAG) mengecam laporan polis Pemuda PAS baru-baru ini terhadap sebuah NGO pro-LGBTQ+, menyifatkannya sebagai tindakan “sangat membimbangkan” dan seolah-olah menyerang semua pembela hak asasi manusia.

JAG, gabungan 15 pertubuhan hak wanita, menyasarkan Pemuda PAS susulan laporan polis yang dibuat oleh sayap Wilayah Persekutuan terhadap NGO Justice for Sisters (JFS), selepas NGO itu membantu lelaki yang ditahan dalam serbuan di sebuah spa di Jalan Raja Laut.

“Serangan terhadap seorang pembela hak asasi manusia adalah serangan terhadap semua pembela hak asasi manusia.

“Percubaan menekan kerja hak asasi yang sah mencabul kebebasan Perlembagaan serta kewajipan Malaysia di bawah undang-undang hak asasi manusia domestik dan antarabangsa,” tegas JAG dalam kenyataan hari ini.

JAG berkata tindakan menyasarkan NGO yang menjalankan kerja sah menjadikan Malaysia bercanggah dengan norma antarabangsa dan prinsip demokrasi. Oleh itu, JAG menggesa semua bentuk gangguan, ancaman dan intimidasi terhadap JFS dan pembela hak asasi manusia dihentikan segera.

“Pembela hak asasi manusia berkhidmat demi kepentingan awam. Membisukan satu organisasi bererti mengancam hak dan keselamatan semua.

“Malaysia mesti menegakkan keadilan, akauntabiliti dan kesetiaan kepada Perlembagaan sambil menolak diskriminasi dan intimidasi,” tambahnya.

Pada 2 Disember, sayap Pemuda PAS membuat laporan di IPD Dang Wangi, mengecam kerja advokasi JFS dengan menyifatkannya sebagai “perbuatan menjijikkan”.

Dalam satu kenyataan di Facebook Pemuda PAS, sayap itu berkata laporan berkenaan dibuat bagi membolehkan NGO itu disiasat dan disekat daripada beroperasi.

Mereka turut menggesa MCMC melalui Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil supaya menyekat semua “aplikasi gay” di Malaysia.

JAG hari ini berkata ugutan untuk membisukan JFS semata-mata kerana memberikan bantuan undang-undang dan sokongan psikososial adalah “tidak berperlembagaan dan bersifat diskriminasi”.

JAG menegaskan bahawa serbuan tersebut melanggar Perlembagaan Persekutuan, iaitu Perkara 5(1) yang menjamin bahawa tiada sesiapa boleh diambil nyawa atau kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

Peruntukan tersebut, katanya, menjadikan penangkapan sewenang-wenangnya, layanan memalukan, dan tahanan tanpa alasan sah sebagai tidak berperlembagaan.

“Perkara 8(1) dan 8(2) menegaskan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan melarang diskriminasi oleh pihak berkuasa awam, menjadikan tindakan menyasarkan individu berdasarkan orientasi seksual sebenar atau yang disangka, serta menghukum organisasi yang memberi mereka sokongan, sebagai tidak sah.

“Perlindungan ini diperkuat melalui Perkara 10(1)(a) dan (c) yang menjamin kebebasan bersuara dan hak menubuhkan persatuan, memastikan NGO hak asasi tidak boleh dibisukan kerana menjalankan fungsi mereka yang sah,” katanya.

JAG turut menggesa polis memberikan penjelasan awam mengenai pematuhan SOP, kesahihan penglibatan media dan asas penahanan yang dibuat.

“Rakaman media menunjukkan lelaki bertuala dirakam dan dikenal pasti secara terbuka, satu pelanggaran serius terhadap privasi dan maruah. Soal siasat yang memalukan, termasuk permintaan membuat bunyi seks, seperti dilaporkan media, menunjukkan amalan penguatkuasaan yang menghina dan tidak wajar.

“Tiada masyarakat demokratik boleh menerima amalan penguatkuasaan yang berasaskan penghinaan dan ketakutan,” tegasnya.

JAG juga menggesa Suhakam menjalankan siasatan penuh berhubung pelanggaran hak asasi dalam serbuan dan proses penahanan, serta garis panduan jelas yang melarang amalan penguatkuasaan bersifat diskriminasi dan melanggar privasi oleh polis, pihak berkuasa agama dan PBT.

Pada 3 Disember, Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus menegaskan semua prosedur dalam serbuan itu dijalankan mengikut undang-undang.

Penjelasan itu muncul selepas Pemuda PSM mendakwa pihak berkuasa menyalahgunakan kuasa dengan menahan individu terlibat melebihi 24 jam tanpa perintah reman.

Timbalan Pengerusi Pemuda PSM, Aiman Sees, turut menyifatkan penglibatan media dalam serbuan sebagai tidak beretika kerana identiti suspek terdedah akibat liputan meluas.

Aiman juga mendakwa Pemuda PSM dimaklumkan mengenai kekerasan ketika serbuan dan hak asas suspek diabaikan, namun Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam menafikan dakwaan tersebut.

Menurut laporan media, serbuan ke atas premis Jalan Raja Laut itu dibuat selepas maklumat awam dan pemantauan dijalankan selama dua minggu. Mereka yang ditahan berumur antara 19 hingga 60 tahun.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Azani Omar dipetik sebagai berkata risikan menunjukkan terdapat “aktiviti tidak bermoral” melibatkan lelaki gay di premis berkenaan.

Mereka yang ditahan termasuk 80 orang Islam serta warga asing dari Korea Selatan, Indonesia, Jerman dan China.

Fadil turut berkata pihak berkuasa tidak dapat mendakwa mana-mana individu yang ditahan kerana tiada siapa tampil sebagai mangsa eksploitasi, pelacuran atau hubungan seks luar tabii.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS