Ketika kebanyakan permainan kanak-kanak hanya menawarkan hiburan, seorang guru dari Ipoh tampil dengan pendekatan berbeza — mencipta alat bantu belajar yang mendidik kanak-kanak memahami nilai wang sejak kecil.
Itulah usaha Nurhayatul Nira Ramli, 45, pegawai perkhidmatan pendidikan di Makmal Perkembangan Kanak-kanak, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menghasilkan inovasi pendidikan “Kit Bijak Wang: Anak Bijak Cerdik Duit”, sebuah kit pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning) yang kini diiktiraf di peringkat global.
Lebih manis lagi, Nurhayatul yang mengurus dan mengajar kanak-kanak di makmal tersebut, turut meraikan pencapaian peribadi apabila menerima ijazah Sarjana Sains (Psikologi Pendidikan) pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 di Serdang — satu lagi penanda kejayaan dalam kerjaya dan penyelidikannya.
"Saya mengajar murid-murid prasekolah, tanggungjawab saya memahami dunia kanak-kanak serta cara mereka berfikir,” katanya kepada Malaysiakini.

Inovasi Nurhayatul ini turut mencetuskan pengiktirafan terbesar dalam kerjayanya apabila meraih Top 5 Asian Best Teacher Award di Bangkok dari 18 negara.
Projek itu bermula pada 2013 sebagai penyelidikan bersama Prof Dr Muhammad Fazli Sabri (kini Dekan Fakulti Ekologi Manusia). Sejak diperkenalkan, inovasi ini meraih 18 anugerah nasional dan antarabangsa, termasuk pengiktirafan di Kanada dan Seoul.
Sebagai ibu kepada lima anak berusia 4 hingga 20 tahun, pengalaman peribadi Nurhayatul turut menjadi inspirasi memacu inovasi yang memberi manfaat bukan sahaja kepada murid, tetapi masyarakat.
Kit Bijak Wang – belajar urus duit cara kanak-kanak, bukan cara orang dewasa

Berbeza daripada permainan kewangan yang menumpukan siapa paling kaya, Kit Bijak Wang menekankan asas literasi kewangan yang sesuai untuk perkembangan kanak-kanak.
“Kanak-kanak belajar lebih berkesan bila mereka bermain… itu kelebihan permainan fizikal berbanding aplikasi digital,” kata Nurhayatul.
Melalui kit ini, kanak-kanak diperkenalkan kepada konsep penting seperti:
pengurusan wang
membuat keputusan berbelanja
nilai menderma
perancangan awal
pengurusan risiko kecil
keyakinan mengendalikan duit sendiri
Kit ini mempunyai 10 permainan mengikut tahap perkembangan (awal, pertengahan, lanjutan) serta 16 item fizikal, termasuk wang mainan, kad situasi, papan permainan dan elemen interaktif.

Nurhayatul menegaskan objektifnya bukan saja menjadikan kanak-kanak “kaya” dalam permainan, tetapi membentuk rasa tanggungjawab dan empati.
Kit Bijak Wang kini dijual pada RM149 di bawah UPM InnoHub (Putra Science Park) dan pernah dipasarkan melalui Pustaka Rakyat.
Inovasi Malaysia ke pentas dunia
Setakat ini, kit tersebut sudah diuji melalui lima program komuniti dengan maklum balas positif daripada ibu bapa.

“Ada anak yang sebelum ini tidak tahu mengurus wang, jadi lebih yakin dan sistematik selepas bermain dengan kit ini,” katanya.
Veginess – membawa Stem dan SDG kepada kanak-kanak
Selepas kejayaan Kit Bijak Wang, Nurhayatul muncul dengan inovasi terbaru dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (Stem) melalui projek Veginess, yang diperkenalkan di Frankfurt, Jerman.
Veginess mendidik kanak-kanak mengenai kelestarian selaras SDG, penjagaan tumbuhan, penggunaan teknologi AI dan tanggungjawab ekologi sejak kecil.
Menggunakan aplikasi Plant Parents, kanak-kanak mengimbas keadaan tumbuhan — nutrisi, serangan serangga, atau tahap kesihatan — sambil membuat keputusan dan memupuk minat memakan sayur.
“Kanak-kanak yang sebelum ini tak makan sayur, mula makan selepas program. Bila mereka jaga sesuatu, mereka belajar menghargainya.”
Urus kerjaya, keluarga, lima anak
Dalam rutin sebagai guru, penyelidik, ketua unit dan inovator, Nurhayatul tidak menyembunyikan cabaran yang dilalui.
“Saya ibu kepada lima orang anak, tiada pembantu rumah, masih mengajar dan mengurus sekolah.
"Pengajian master pun saya buat dalam keadaan serba mencabar,” katanya.
Namun baginya, cabaran bukan halangan.
“Cabaran bukan untuk dirungut. Ia untuk diurus… Tuhan tahu kita mampu,” katanya.
PHD tunggu masa sesuai
Walaupun menerima beberapa tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PHD), Nurhayatul berkata dia tidak tergesa-gesa berbuat demikian.
“Belajar itu budaya. Tapi saya tak mahu tertekan.
"Buat masa ini saya beri ruang kepada keluarga, tapi saya tetap teruskan penyelidikan. Bila tiba masa sesuai, saya sambung,” katanya.
Sementara itu, Nurhayatul menegaskan cita-citanya jelas, untuk melihat inovasi yang dihasilkannya berkembang secara nasional, termasuk melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Saya hanya mahu menyumbang kepada pendidikan awal kanak-kanak di negara kita,” katanya lagi.
