Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perjanjian dagang M'sia, AS: Urimai kecam Anwar, adu ke polis
Diterbitkan:  Dec 6, 2025 6:26 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy membuat laporan polis terhadap perjanjian perdagangan Malaysia-AS di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai.

Dalam laporannya, Ramasamy menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim melemahkan kedaulatan Malaysia dengan menandatangani perjanjian tersebut.

“Anwar telah meletakkan Malaysia dalam bahaya sebenar menjadi boneka kepada AS. Kedaulatan ekonomi dan politik negara telah dikorbankan atas nama menjalin hubungan baik dengan AS.

"Sebagai pengerusi gerakan hak Malaysia, Urimai, saya menggesa pihak polis menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat peranan Anwar dalam menyerahkan kedaulatan Malaysia melalui perjanjian perdagangan tersebut.

"Perjanjian itu mesti dibatalkan secepat mungkin, jika tidak Malaysia mungkin berdepan aib menyerahkan kedaulatannya secara senyap," katanya.

Perjanjian tersebut dimeterai pada 26 Okt antara Anwar dan Presiden AS Donald Trump ketika lawatan Trump ke Kuala Lumpur bagi sidang kemuncak Asean. Ia merangkumi peruntukan yang menggalakkan penjajaran lebih rapat dengan Washington dalam hal keselamatan negara seperti kawalan eksport, sekatan dan tapisan pelaburan.

Perjanjian itu turut memberi akses keutamaan kepada barangan dan perkhidmatan Amerika manakala AS mengecualikan beberapa eksport Malaysia daripada tarif timbal balik 19 peratus yang dikenakan Trump.

Sebagai balasan, Malaysia dijangka mematuhi sekatan perdagangan AS yang berkaitan kebimbangan ekonomi atau keselamatan negara, menyelaraskan dasar kawalan eksport dan sekatan terhadap teknologi sensitif, serta menghalang firma Malaysia daripada membantu aktiviti pengelakan sekatan.

Putrajaya juga dijangka meneroka mekanisme untuk menapis pelaburan masuk atas faktor keselamatan negara, termasuk yang melibatkan mineral kritikal dan infrastruktur.

Bercakap di Dewan Rakyat pada 1 Dis, bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengulangi bahawa Malaysia tidak merundingkan perjanjian tersebut “dari posisi selesa”.

Dia berkata rundingan dilakukan dalam keadaan Malaysia berdepan ancaman tarif 25 peratus Trump terhadap hampir semua eksport ke AS.

Perjanjian berat sebelah

Sehubungan itu, Ramasamy berkata walaupun perjanjian itu digambarkan sebagai perjanjian timbal balik, hakikatnya tidak begitu.

Dia menegaskan perjanjian itu tidak adil kepada Malaysia, dengan AS didakwa menjadikannya alat untuk menyekat kemaraan ekonomi China.

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata walaupun Anwar mempertahankan perjanjian itu atas alasan ia akan menarik pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan, kesan negatifnya jauh lebih besar.

“Walaupun terdapat klausa keluar bagi Malaysia untuk menarik diri daripada perjanjian tersebut, malangnya, kebergantungan berlebihan Anwar dan sikap tunduknya terhadap AS menjadikan klausa keluar itu tidak bermakna,” katanya.

Semalam, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyuarakan bantahan terhadap perjanjian perdagangan Malaysia-AS yang kontroversi itu, menyokong kebimbangan bahawa perjanjian tersebut mengancam kedaulatan negara dalam keadaan seumpama “penjajahan semula”.

Pada sidang media bersama bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas panglima angkatan tentera, jeneral bersara Borhan Ahmad berkata golongan veteran bersedia untuk menghadap Majlis Raja-Raja bagi membincangkan kebimbangan mereka.

“Memang telah buat perancangan untuk jumpa dengan raja-raja, membincangkan masalah yang dihadapi sekarang, minta pandangan mereka, satu tindakan yang dapat diambil oleh majlis, kita nak jumpa, ada rancangan untuk jumpa,” kata Borhan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS