PAS mengambil pendekatan lunak selepas dianggap menjadi faktor penolak buat MCA menyertai PN semalam.
Hari ini, PAS berkata parti itu sentiasa terbuka untuk mengadakan dialog dengan mana-mana pihak – termasuk MCA – bagi menjernihkan sebarang “kekeliruan” berhubung dasar serta pendirian pembangkang berkenaan.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata pandangan pihak lain terhadap PAS wajar “dijernihkan” secara terbuka dan bukannya bersandarkan “persepsi yang tidak lengkap.”
Mengulas isu tersebut kepada Malaysiakini hari ini, Ahmad Fadhli berkata, PAS mengambil maklum kenyataan dibuat oleh Presiden MCA, Wee Ka Siong, semasa menyampaikan ucapan dasar dalam perhimpunan agung parti itu semalam.
“Apa juga pandangan terhadap PAS wajar dijernihkan melalui dialog terbuka dan bukan melalui persepsi yang tidak lengkap.
“Saya ingin menegaskan bahawa kami (PAS) sentiasa bersedia berdialog dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan dasar serta mengatasi sebarang kekeliruan.
“MCA sendiri pernah bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan PN dan mengetahui secara dekat pendekatan PAS ketika mentadbir,” katanya ketika dihubungi.
Semalam Malaysiakini melaporkan mungkin memilih jalan sendiri jika BN kekal dengan sikap seperti sekarang – bekerjasama dengan PH – dalam PRU akan datang.
Pintu dialog PAS sentiasa terbuka
Kata Wee, BN tidak akan dapat berkembang dalam kerangka kerajaan perpaduan seperti yang ada pada hari ini.
Pun begitu, Wee – seorang daripada dua ahli parlimen MCA di Dewan Rakyat ketika ini – berpendapat menyertai PN bukanlah pilihan yang sesuai buat parti tersebut kerana keberadaan PAS.
Menurut Wee, majoriti masyarakat Cina tidak dapat menerima PAS ekoran tindakan sesetengah pemimpin parti itu yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi bagi menyerlahkan konservatisme agama mereka.
PAS juga, kata Wee, sering menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam.
Turut dikecam dalam ucapan itu ialah PH khususnya DAP yang menjadi salah satu komponen gabungan tersebut.
Menurut Ahmad Fadhli, semasa bersama kerajaan PN sebelum ini, tidak pernah timbul sebarang konflik besar di antara PAS dan MCA sehingga membawa perbalahan terbuka.

Keadaan itu, tambah Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan, berbeza dengan apa yang lihat dalam kalangan parti-parti kerajaan hari ini apabila terzahir perdebatan secara tidak produktif.
“Pengalaman pentadbiran bersama (sebelum) ini sepatutnya menjadi asas kefahaman bahawa PAS bukan parti yang memusuhi mana-mana kaum atau agama, malah sentiasa memilih jalan perundingan dan harmoni dalam menyelesaikan perbezaan.
“Jika masih wujud salah faham atau keraguan, pintu PAS sentiasa terbuka untuk dialog,” katanya.
Turut mengambil sikap diplomasi kepada MCA ialah senator PAS Kelantan, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Pada pandangan bekas ketua pemuda dan anggota Jawatankuasa PAS Pusat itu, ada persamaan di antara PAS dengan MCA iaitu kedua-duanya menolak “ekstremisme”.
Dipercayai Nik Mohamad Abduh merujuk kenyataan tersebut kepada DAP yang sering dilabel mereka sebagai ekstrem.
“MCA sangsi PAS kerana ekstrem. PAS tolak kerjasama parti ekstrem. Sama-sama tolak ekstremisme.
“Penyelesaian, banyakkan temu bincang,” katanya ringkas.
