Mahkamah Tinggi Shah Alam akan memberikan keputusan berhubung permohonan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf untuk menangguhkan hukuman penjara ke atasnya pada 23 Disember ini.
Wanita berusia 30 tahun itu disabit bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu atas kesalahan mengabaikan Allahyarham. Permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara sementara proses rayuan terhadap keputusan itu juga ditolak.
Tarikh keputusan ditetapkan hari ini selepas hakim Aslam Zainuddin mendengar penghujahan peguam Ismanira, Haresh Mahadevan, dan timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Dalam hujahnya, Haresh berkata Ismanira perlu ada bersama anak keduanya, seorang kanak-kanak autisme, bagi memastikan kesejahteraannya, memandangkan perpisahan atau kunjungan di penjara membawa risiko psikologi kepada kanak-kanak itu.
Ia berdasarkan laporan penilaian psikologi terhadap anak tersebut, kata Haresh.
“Pemisahan boleh menyebabkan trauma, gangguan emosi, kegelisahan pemisahan dan risiko kemurungan kompleks terhadap anak autisme.
“Jika permohonan penangguhan ditolak, anak ini perlu melawat pemohon (Ismanira) di Penjara Kajang setiap dua bulan, di mana pertemuan diadakan di belakang tingkap kaca.
“(Ini akan menghalang) sebarang bentuk sentuhan fizikal, iaitu komponen penting untuk kawalan emosi dan keselesaannya, (yang membawa) risiko psikologi serius, terutama terhadap anak dengan autisme.”
Katanya lagi, Ismanira tiada rekod jenayah sebelum ini dan tiada sebab untuk merasakan dia akan melarikan diri, memandangkan dia telah memberi kerjasama dengan hadir ke setiap perbicaraan di Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Tanggungjawab hadir perbicaraan
Bagaimanapun, Raja Zaizul berkata alasan-alasan tersebut tidak bersamaan dengan keadaan khas, kerana adalah menjadi tanggungjawab Ismanira untuk hadir perbicaraan.
Dia berkata keperluan untuk Ismanira bersama secara fizikal dengan anak keduanya langsung tidak perlu dipertimbang, memandangkan pertuduhan jenayah berkaitan pengabaian sebelum ini.
“(Memetik laporan pakar) tidak cukup untuk membuktikan adanya keadaan khas, memandangkan tiada afidavit bagi menyokong hujah pemohon.
“(Ismanira) gagal menyerahkan sebarang afidavit daripad doktor atau pakar untuk menunjukkan anak keduanya tidak sihat atau stabil. Seharusnya ada sekurang-kurangnya satu afidavit untuk pertimbangan (mahkamah).
“Maka, responden merasakan sebab-sebab ini tidak menyamai keadaan khas yang perlu dipertimbang, dan tidak seharusnya dipertimbang langsung,” katanya lagi.
Selain tarikh keputusan permohonan, Mahkamah Tinggi juga menetapkan 17 Disember ini untuk pengurusan kes rayuan Ismanira terhadap sabitannya.
