Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Kenapa AMK serang Albert tapi membisu terhadap ahli politik?
Diterbitkan:  Dec 13, 2025 9:31 PM
Dikemaskini: 1:31 PM

Peguam Albert Tei, Mahajoth Singh mempersoalkan mengapa pemimpin Pemuda PKR (AMK) menyerang anak guamnya tetapi membisu terhadap ahli politik yang dikaitkan dalam skandal rasuah Sabah.

Dalam kenyataan hari ini, Mahajoth mempersoal jika serangan Ketua Penerangan AMK Danish Hairudin berpunca daripada rasa tidak selesa dengan pendedahan yang dibuat ahli perniagaan itu.

Dia juga menyifatkan Danish sebagai tergesa-gesa mempertahankan Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang juga Perdana Menteri.

“Kenapa keberanian muncul hanya apabila sasaran adalah pemberi maklumat?

“Sukar untuk menolak yang serangan ini lebih kepada untuk melindungi ketua berbanding soal integriti.

“Mempertahankan ketua sendiri memang mudah. Mempertahankan undang-undang pula memerlukan keberanian,” kata Mahajoth.

Semalam, Danish berkata Tei bersikap tidak konsisten dan membuat kenyataan bercanggah berhubung dakwaan rasuah membabitkan dirinya.

Danish Hairudin

Dia juga menyifatkan serangan Tei terhadap Anwar sebagai cubaan paling terdesak untuk mengalih perhatian daripada percanggahan dan kepincangan dirinya sendiri.

Sebelum itu, Tei menegaskan dirinya bukan wira namun pada masa sama mencabar Anwar jika dia layak menyandang gelaran itu. 

Dia menegaskan pendedahan skandal itu bukan untuk mencari pujian, tetapi lahir kerana terdesak.

Tei berkata demikian sebagai reaksi kepada Anwar yang menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan mengagung-agungkan pemberi rasuah.

Walaupun Anwar tidak menyebut nama atau merujuk secara langsung kepada skandal Sabah, Tei yakin dirinya adalah sasaran kenyataan itu.

Hak undang-undang untuk semua

Mahajoth menegaskan bahawa pilihan untuk mengaku tidak bersalah adalah hak asas dan tidak boleh diganggu gugat.

“Tiada pertentangan undang-undang antara mendedahkan rasuah, bekerjasama dalam siasatan, dan menuntut agar pihak pendakwaan menunaikan tanggungjawab pembuktian di mahkamah,” katanya.

Katanya lagi Anwar sendiri pernah memberikan kenyataan tidak bersumpah di mahkamah yang tidak tertakluk kepada pemeriksaan balas, yang menurut peguam itu adalah “pilihan prosedur yang sah.”

“Ketika itu, tiada siapa yang menuduhnya (Anwar) pengecut, tidak konsisten, atau menipu.

“Hak undang-undang tidak boleh diraikan apabila digunakan oleh pemimpin politik dan dipermainkan apabila digunakan oleh pihak yang mengkritik. Itu sikap hipokrit, bukannya prinsip,” katanya lagi.

Sejak November tahun lalu, Tei menjadi duri dalam daging bagi GRS dan PH selepas tindakannya mendedahkan sejumlah video, tangkap layar dan dokumen.

Dia mendakwa sejumlah ahli politik menerima wang daripadanya sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral yang kemudian dibatalkan, mendorongnya untuk mendedahkan skandal tersebut.

Skandal perlombongan Sabah

Beberapa hari sebelum PRN Sabah, Tei mendakwa dia membelanjakan lebih RM620,000 kepada Shamsul Iskandar Md Akin setelah Shamsul berkata dapat membantunya mendapatkan semula wang yang didakwa telah diberikan kepada ahli politik di Sabah.

Shamsul meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kanan Anwar pada hari yang sama.

Tei dan Shamsul kemudian dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memberi dan menerima rasuah. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

Pada Jun lalu, Tei juga didakwa bersama dua lagi ADUN GRS atas kesalahan sama.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, dan pemimpin GRS mendakwa Tei sebagai sebahagian daripada kartel yang ingin memonopoli perlombongan di negeri itu. Dia juga didakwa menggunakan cara penipuan untuk mencapai matlamatnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS