Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Durian Tunggal: PN bimbang pendedahan polis Melaka
Diterbitkan:  Dec 14, 2025 3:16 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Barisan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyuarakan kebimbangan dan rasa kurang selesa terhadap laporan terkini berhubung insiden tembakan polis di Durian Tunggal, Melaka, khususnya pendedahan yang dibuat oleh polis negeri ketika siasatan masih dijalankan oleh pasukan khas Bukit Aman.

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata kebimbangan itu timbul berikutan kenyataan awam polis Melaka yang menyentuh perkara-perkara yang masih dalam ruang lingkup siasatan pasukan khas berkenaan.

“Perlu ditegaskan bahawa profesionalisme, ketelusan dan kesahihan prosedur polis hendaklah dipatuhi pada setiap masa dan berkaitan semua kes.

“Kenyataan awam yang dilihat sengaja mendedahkan maklumat atau sejarah peribadi dan keluarga, memberi gambaran buruk tentang saksi atau menimbulkan prasangka terhadap individu berkait kes sewaktu proses siasatan sedang berjalan berpotensi menatijahkan gambaran salah dan kesimpulan yang pramatang.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar.

“Keadaan sedemikian, sama ada secara sengaja atau tidak, boleh mempengaruhi sentimen awam, sekali gus melemahkan integriti proses siasatan itu sendiri,” katanya pada satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan pendedahan oleh Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, yang mendedahkan beberapa butiran berkaitan seorang saksi utama dalam kes berkenaan, yang dilihat boleh menjejaskan kredibilitinya di mata awam.

Dzulkhairi mendedahkan wanita yang tampil sebagai isteri kepada salah seorang mangsa sebenarnya bukan pasangan sah, sebaliknya hanya kekasih yang tinggal bersama suspek.

Dia dipetik Bernama berkata siasatan mendapati wanita berusia 31 tahun itu dan suspek hanyalah pasangan kekasih yang tinggal bersama sejak tiga tahun lalu manakala isteri sebenar suspek berada di Johor.

Dzulkhairi turut mendedahkan wanita berkenaan mempunyai 10 rekod jenayah lampau, termasuk kes rompakan bersenjata dan cubaan membunuh, selain mendakwa bapanya juga mempunyai sejarah jenayah dan kini dikehendaki polis berkaitan satu kes rompakan.

Walaupun wanita itu tidak dinamakan dalam laporan media, Dzulkhairi dipercayai merujuk kepada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Jayashree.

Jayashree sebelum ini merakam perbualan dengan G Logeswaran, ketika individu berkenaan bersama dua yang lain didakwa ditembak mati oleh polis.

Rakaman audio tersebut menggambarkan mereka menyerah diri kepada polis dan merayu agar diberi belas kasihan sebelum dipercayai ditembak.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berkata pendedahan maklumat peribadi tertentu, termasuk melibatkan ahli keluarga individu berkait kes, boleh dilihat sebagai usaha membentuk naratif awam.

“Insiden kehilangan nyawa semasa operasi polis adalah isu serius yang menuntut ketelusan, pematuhan SOP siasatan dan tahap akauntibiliti tertinggi.

“Semua dapatan hendaklah berpandukan fakta, proses sah dan standard profesionalisme yang tidak diragui, selain bebas daripada bias atau maklumat yang berpilih-pilih, bagi memastikan kepercayaan awam terhadap agensi penguatkuasaan terus terpelihara,” kata ahli parlimen Kota Bharu itu.

Semalam, peguam kepada keluarga tiga lelaki yang ditembak mati dalam insiden pada 24 Nov lalu turut mengecam tindakan Dzulkhairi, yang didakwa cuba mengalihkan perhatian daripada isu utama iaitu penggunaan kuasa maut oleh pihak berkuasa.

Pada satu kenyataan bersama, peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh menegaskan pendedahan polis mengenai status perkahwinan serta dakwaan rekod jenayah lampau seorang wanita bernama Jayashree tidak mempunyai kaitan dengan persoalan teras kes tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS