Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP kecam polis siasat penyebar video dakwa trafik halang ambulans
Diterbitkan:  Dec 14, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng mengkritik polis kerana menyiasat seorang individu yang merakam seorang anggota polis trafik minggu lalu.

Lim berkata langkah tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya merupakan satu bentuk intimidasi dan penyalahgunaan kuasa.

“Mengheret orang awam ke siasatan jenayah atas kesilapan persepsi adalah penyalahgunaan kuasa yang tidak boleh diterima. 

“Adakah polis Melaka benar-benar tiada kes jenayah lain yang lebih serius untuk ditangani?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata individu berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video yang dimuat naiknya, yang tular di media sosial.

Dzulkhairi juga menjelaskan anggota trafik terbabit tidak menghalang pergerakan sebuah ambulans seperti yang didakwa dalam video tersebut, dan bunyi siren yang kedengaran sebenarnya datang daripada kenderaan polis yang mengiringi delegasi pelabur dari China.

Dzulkhairi Mukhtar

Dalam video tular yang dilihat Malaysiakini, sebuah ambulans kelihatan berhenti di belakang lampu isyarat merah. Di seberang jalan, sebuah motosikal polis kelihatan tidak bergerak dan dipercayai sedang menyelaras aliran trafik.

Lim turut menyifatkan tindakan ketua polis Melaka itu sebagai “hipokrasi tahap tertinggi”.

Dia membandingkan insiden berkenaan dengan penyebaran video tidak ditapis berkenaan sejumlah individu yang ditangkap dalam serbuan di sebuah sauna di Kuala Lumpur beberapa minggu lalu, sehingga mendedahkan identiti mereka kepada umum.

“Mengapa seorang rakyat biasa disiasat kerana merakam polis trafik, tetapi anggota polis yang membocorkan video bogel orang awam dilindungi? Apakah undang-undang hanya keras terhadap rakyat, tetapi lembut terhadap pihak berkuasa?

“Kenyataan bahawa ‘polis boleh merakam tetapi orang awam tidak boleh merakam’ adalah hipokrasi tahap tertinggi. Ia menghina kecerdikan rakyat dan menghancurkan kepercayaan awam terhadap pasukan polis,” kata Lim lagi.

Dia menegaskan sehingga kini, tiada seorang pun anggota polis yang disiasat atau didakwa kerana mendedahkan identiti orang awam dalam serbuan sauna tersebut.

Lim menggesa kerajaan agar segera menghentikan “budaya ugutan” seumpama itu, sambil menyeru agar hak demokratik rakyat untuk merakam operasi polis dilihat sebagai langkah mencegah penyalahgunaan kuasa.

“Orang awam berhak merakam dan membuat siaran langsung semasa operasi polis selagi tidak mengganggu tugas penguatkuasaan. Ini adalah amalan asas di negara demokratik untuk mencegah salah guna kuasa,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS