Ketua Pemuda MIC K Arvind membidas kenyataan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berhubung status keanggotaan MIC dalam gabungan itu, antaranya dengan mengingatkan parti itu agar jangan “siang cakap lain, malam pula cakap lain”.
"Jika benar soalnya adalah 'siang cakap lain, malam cakap lain', maka cermin paling dekat yang perlu dirujuk oleh Zahid adalah kepimpinan Umno sendiri.
“Dia menuduh MIC kemabukan kuasa…Cuba kita imbas kembali. Zahid sebelum ini secara terbuka melaungkan slogan 'No DAP, No Anwar' ketika kempen PRU, namun akhirnya menjadi individu utama yang membawa Umno menyertai kerajaan bersama DAP dan Anwar Ibrahim.
“Adakah itu bukan contoh paling jelas ‘siang cakap lain, malam buat lain?" kata Arvind kepada Malaysiakini.
Semalam, Zahid memaklumkan pihaknya masih belum menerima surat daripada MIC, berhubung usul parti itu untuk keluar daripada BN.
"Dan tentunya kita tidak membuat sebarang keputusan, tetapi kalau mereka tidak dapat membuat keputusan, kita (BN) akan membuat keputusan (mengenai MIC keluar dari BN),” katanya kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) di Semenyih, Selangor.
Zahid mengingatkan parti komponen dalam BN untuk berfikir panjang sebelum membuat keputusan meninggalkan gabungan yang telah dianggotai sejak sekian lama, apatah lagi dengan landskap politik yang sentiasa berubah.

"Di kalangan kita, jangan siang cakap lain malam cakap lain. Kita pun melihat ada surat memohon masuk semula, kenapa mohon semula, ertinya dulu pun dah masuk.
"Politik ini sangat dinamik…jangan hanya kerana kemabukan kuasa kerana mengambil lebih minuman yang memabukkan. Maka, keputusan dibuat tanpa mengira bahawa kita kawan lebih 70 tahun," kata Zahid lagi.
Namun Arvind menyifatkan Zahid sebenarnya yang mabuk kuasa.
"Orang yang mabuk kuasa itu Zahid, bukan kami. Kalau benar mabuk yang menjadi puncanya, rakyat boleh nilai sendiri siapa yang paling pening arah tuju,” katanya.

Dia merujuk langkah BN untuk menyertai kerajaan pimpinan GRS selepas PRN yang lalu, walaupun kedua-duanya berseteru sebelum itu.
"Jadi siapa sebenarnya yang buat keputusan ketika marah, sedih, terdesak dan akhirnya berpatah balik. Kalau nak bercakap soal mabuk, pastikan sedar diri dulu," kata Arvind.
Setia tak bermakna bisu
Mengulas lanjut, Arvind berkata MIC tidak pernah membuat keputusan secara tergesa-gesa atau berdasarkan emosi, dan sentiasa setia kepada BN walaupun berdepan layanan tidak adil dan dipinggirkan dalam kerajaan.
"Kami tidak pernah tinggalkan BN. Apa yang kami minta hanyalah dihormati sebagai rakan kongsi, bukan dijadikan hiasan sejarah.
"Kesetiakawanan tidak boleh dituntut secara sebelah pihak, apatah lagi selepas MIC diketepikan dalam pembentukan dasar dan pembahagian kuasa.
"Kesetiakawanan 70 tahun tidak boleh dijadikan alasan untuk membisu apabila dipinggirkan," katanya lagi.
Mesyuarat Agung Tahunan MIC pada November lalu memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu kekal dalam BN atau mempertimbangkan gabungan baru.
Perwakilan menyerahkan mandat kepada presiden, SA Vigneswaran dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
