Pemuda Bersatu menyifatkan tuntutan DAP supaya Putrajaya memberi pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bermotifkan politik semata-mata.
Ketua penerangannya Harris Idaham Rashid mendakwa desakan itu susulan kekalahan DAP dalam PRN Sabah, baru-baru ini.

“Topik yang sudah lama sejuk ini sengaja dihangatkan kembali bertujuan untuk meyakinkan masyarakat Cina bahawa DAP tidak lari daripada perjuangan asal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dilaporkan partinya akan berjumpa dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meminta supaya kerajaan mengiktiraf UEC.
Ketika isu berkenaan kembali hangat - Anwar dilaporkan tidak bersetuju dengan tuntutan DAP itu.
Katanya, kerajaan akan terus mempertahan dan mendukung prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan berhubung kedudukan bahasa Melayu.

Tegasnya, usaha yang sepatutnya dilakukan adalah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bagi menjadikannya bahasa ilmu yang dikuasai semua pihak di negara ini.
Harris berkata, pihaknya menyeru kepada kerajaan untuk menyedari bahawa DAP hanya ‘playing to the gallery’.
Dakwanya, ia konsisten dengan tuduhan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke terhadap Presiden Upko Ewon Benedick apabila membuat keputusan untuk meninggalkan gabungan kerajaan.
“Pemuda Bersatu menegaskan bahawa pemantapan identiti nasional sebagai warganegara harus diberi lebih perhatian. Masalah besar generasi baru adalah penguasaan bahasa Malaysia berada di tahap yang rendah.
“Pengiktirafan UEC akan mengakibatkan pelajar Cina merasakan bahawa subjek bahasa Malaysia itu hanya relevan untuk tujuan akademik sahaja.

“Untuk mencapai semangat patriotisme yang tinggi, sistem pendidikan harus mengikut arus perdana dan tidak wajar untuk mengiktiraf sistem pendidikan yang diwujudkan oleh swasta,” katanya.
Tambahnya, pihaknya juga menyokong supaya rakyat Malaysia menjadi trilingual society yang mempunyai penguasaan mantap bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, Mandarin atau bahasa lain.
“Penguasaan ini akan memberi kelebihan kepada individu tersebut untuk mendapat peluang pekerjaan yang baik dan memudahkan urusan perniagaan bersama kuasa besar China dan Amerika kerana tiada masalah komunikasi.
“Walaupun Pemuda Bersatu menyokong Malaysia ke arah trilingual society tetapi menentang pengiktirafan UEC untuk mencapai tujuan tersebut seperti diyakini oleh pemimpin DAP,” kata Harris lagi.
