Sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam perlembagaan, kata Anwar Ibrahim.
Sebagai perdana menteri, katanya, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.
“Kebelakangan ini ada suara pelbagai tuntutan soal bahasa, ada yang nak tekankan bahasa Inggeris, ada yang nak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Saya nak jelaskan begini - ini Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan siapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej sesuatu bahasa, mesti ingat bahawa bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Yang itu kita noktahkan, jelaskan,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kuah, di sini hari ini.

Dia yang juga menteri kewangan berkata martabat bahasa Melayu harus diangkat sesuai dengan kedudukannya dalam perlembagaan negara, malah penguasaannya mesti dimantapkan dalam kalangan rakyat.
Menurut Anwar sekiranya prinsip dan soal itu telah dilakukan, baharulah cadangan bagi memantapkan penguasaan bahasa lain dan pengiktirafan terhadap UEC boleh dikemukakan.
“Kalau ini dah jelas, nak bangkitkan soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris, saya setuju.
“Tapi bahasa Melayu, bahasa bidang teknologi baru, bahasa AI (kecerdasan buatan), bahasa untuk bahasa ilmu, itu mesti dimantapkan dan penguasaan bahasa itu harus baik dalam kalangan semua rakyat.
“Semua aliran... saya tak kira Cina, Tamil, Inggeris mesti menguasai bahasa Melayu dan ini juga syarat yang kita kenakan untuk sekolah-sekolah antarabangsa… dia boleh menggunakan perantaraan bahasa Inggeris tapi mesti lulus dan menguasai bahasa Melayu,” katanya.
Anwar menegaskan sebarang cadangan yang menjurus kepada satu bahasa atau satu kaum serta meninggalkan perbincangan soal bahasa utama negara dilihat akan membawa kepada masalah.
Justeru, perdana menteri mengingatkan mana-mana pihak yang mengemukakan cadangan dalam perkara berkaitan bahasa haruslah mematuhi prinsip perlembagaan dengan keutamaan ialah penguasaan bahasa Melayu.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming dilapor sebagai berkata parti itu akan berjumpa dengan Anwar berhubung pengiktirafan UEC.
- Bernama
