Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mabuk kuasa dan mabuk todi - Pergeseran Umno-MIC makin panas
Diterbitkan:  Dec 15, 2025 3:50 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Pergeseran politik antara dua sekutu BN semakin memuncak apabila sayap pemuda Umno dan MIC pula saling bercakaran.

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda MIC K Arvind yang membidas Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi kerana menuduh parti India tersebut supaya “jangan mabuk kuasa” Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, tampil mengeluarkan teguran pedas.

“Dei machaa.

“Yang mabuk ini bila ada orang cakap mahu keluar, tapi tak keluar walaupun AGM sudah setuju keluar.

“Yang mabuk ini bila mahu sertai PN tapi mahu kekal sokong PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim).

“Ini tahap mabuk todi level tinggi,” sindirnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Pemuda MIC K Arvind mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya mabuk kuasa.

"Orang yang mabuk kuasa itu Zahid, bukan kami. Kalau benar mabuk yang menjadi puncanya, rakyat boleh nilai sendiri siapa yang paling pening arah tuju,” katanya.

Menurut Arvind, jika benar soalnya adalah 'siang cakap lain, malam cakap lain', maka cermin paling dekat yang perlu dirujuk oleh Ahmad Zahid adalah kepimpinan Umno sendiri.

“Dia menuduh MIC kemabukan kuasa…Cuba kita imbas kembali. Zahid sebelum ini secara terbuka melaungkan slogan 'No DAP, No Anwar' ketika kempen PRU, namun akhirnya menjadi individu utama yang membawa Umno menyertai kerajaan bersama DAP dan Anwar.

“Adakah itu bukan contoh paling jelas ‘siang cakap lain, malam buat lain?" katanya.

Semalam Zahid memaklumkan pihaknya masih belum menerima surat daripada MIC, berhubung usul parti itu untuk keluar daripada BN.

"Dan tentunya kita tidak membuat sebarang keputusan, tetapi kalau mereka tidak dapat membuat keputusan, kita (BN) akan membuat keputusan (mengenai MIC keluar dari BN),” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) di Semenyih, Selangor.

Zahid mengingatkan parti komponen dalam BN untuk berfikir panjang sebelum membuat keputusan meninggalkan gabungan yang telah dianggotai sejak sekian lama, apatah lagi dengan landskap politik yang sentiasa berubah.

"Di kalangan kita, jangan siang cakap lain malam cakap lain. Kita pun melihat ada surat memohon masuk semula, kenapa mohon semula, ertinya dulu pun dah masuk.

"Politik ini sangat dinamik… jangan hanya kerana kemabukan kuasa kerana mengambil lebih minuman yang memabukkan. Maka, keputusan dibuat tanpa mengira bahawa kita kawan lebih 70 tahun," kata Zahid lagi.

MIC kini sedang menilai kemungkinan untuk keluar dari BN, susulan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan politik mereka, khususnya selepas Umno di bawah pimpinan Zahid menjalin kerjasama dengan PH.

Selain MIC, MCA juga bimbang isu pembahagian kerusi pilihan raya, yang mereka anggap lebih memihak kepada parti-parti penyandang.

Di bawah formula pembahagian kerusi BN–PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan menerima jumlah kerusi yang kecil untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.

Pada masa ini, MCA memegang dua kerusi parlimen manakala MIC hanya mempunyai satu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS