Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 96 peratus pelajar UEC lulus kertas BM SPM - Dong Zong
Diterbitkan:  Dec 15, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 1:56 PM
1

Bahasa Malaysia (BM) sudah pun menjadi komponen utama sukatan mata pelajaran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan hampir semua pelajar lulus peperiksaan BM dalam SPM, menurut Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Sabtu lalu, Dong Zong berkata BM adalah mata pelajaran wajib bagi kurikulum UEC dan pihaknya setuju dengan kerajaan bahawa pelajar perlu mendapat kredit dalam peperiksaan BM SPM.

“Malah, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kadar lulus pelajar sekolah persendirian Cina dalam mata pelajaran BM SPM telah melepasi 96 peratus,” katanya.

Menurutnya, kadar lulus untuk tiga tahun terakhir adalah 97.38 peratus pada 2022; 97.11 peratus (2023), dan 96.65 peratus (2024).

Kata Dong Zong lagi, pihaknya juga telah menubuhkan sebuah pasukan bersama-sama Pertubuhan Ikram Malaysia yang khusus untuk meningkatkan kemahiran bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar dan lepasan sekolah persendirian Cina.

Katanya, kerjasama itu bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi serta meningkatkan daya saing dalam masyarakat dan di tempat kerja.

Kenyataan Dong Zong itu di tengah bantahan terhadap gesaan agar kerajaan mengiktiraf UEC, dengan sejumlah pihak membangkitkan keperluan untuk melindungi bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun, kelulusan dalam peperiksaan BM mungkin tidak memadai.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata UEC hanya boleh diiktiraf apabila ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan.

Perdebatan berhubung UEC tercetus kembali selepas DAP mendedahkan parti itu sedang berusaha agar ia akhirnya diiktiraf, sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuannya susulan kekalahan besar dalam PRN Sabah.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyatakan pengiktirafan UEC adalah sebahagian daripada dasar baru yang juga akan mengukuhkan Bahasa Melayu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia tidak menghalang pengiktirafan UEC selagi kemahiran dalam bahasa kebangsaan diutamakan.

Pengiktirafan UEC merupakan antara komitmen utama PH dan termasuk dalam janji kempen semasa PRU 2018 dan 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS