Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda MIC balas Akmal: 'Kalau MIC mabuk todi, Umno mabuk air ketum?'
Diterbitkan:  Dec 15, 2025 9:00 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Ketua Pemuda MIC K Arvind tidak menunggu masa yang lama untuk membalas kecaman Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, dalam pergeseran dua sekutu dalam BN itu yang dilihat kian meruncing.

Dalam kenyataan terbarunya, Arvind mengingatkan Akmal bahawa pertikaman lidah mereka berpunca daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. 

"Dei macha Akmal, sedarlah polemik Umno-MIC hari ini berpunca daripada kenyataan presiden Umno sendiri semasa merasmikan perhimpunan agung IPF (Barisan Kemajuan India Se-Malaysia) semalam. Dia melontarkan kata-kata tidak senonoh terhadap MIC.

“Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Sama juga bagaimana presiden Umno, begitulah ketua pemudanya (Akmal). 

Dei macha, jika Pemuda MIC mabuk todi, awak mabuk air ketum ke. Rakyat tahu siapa mabuk kuasa dan siapa yang jadi pelacur politik," kata Arvind.

Terdahulu, Akmal membidas Arvind selepas dia mengkritik kenyataan Zahid supaya MIC “jangan mabuk kuasa” susulan parti itu yang sedang menimbang untuk keluar BN.

Akmal Saleh

Dalam kenyataan semalam, Arvind berkata Zahid sebenarnya yang mabuk kuasa, dengan membangkitkan kerjasama BN dengan PH selepas PRU15 dan juga GRS selepas PRN bulan lalu.

Kenyataan itu jelas tidak diterima Akmal.

“Dei machaa. Yang mabuk ini bila ada orang cakap mahu keluar, tapi tak keluar walaupun AGM sudah setuju keluar.

“Yang mabuk ini bila mahu sertai PN tapi mahu kekal sokong PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim).

“Ini tahap mabuk todi level tinggi,” sindirnya.

‘Ramai tak puas hati kepimpinan Zahid’

Dalam kenyataan hari ini, Arvind mencabar Zahid untuk menarik balik bon kesetiaan berjumlah RM100 juta yang ditandatangani semua calon BN dalam PRU15, yang perlu dibayar antaranya jika mereka lompat parti selepas menang.

"Awak tahu tak berapa ramai wakil rakyat BN, termasuk Umno sendiri yang makin meluat terhadap kepimpinan Zahid? Yang sokong dan mengampu pun bukanlah sebab setia kepada Zahid, tetapi demi jawatan dan kerakusan kuasa.

"Dei macha, nasihatkan presiden awak supaya beradab dalam percakapannya.

“Perkataan mabuk dan mabuk todi sesungguhnya mencerminkan sikap angkuh dan bukan saja memperlekehkan MIC, tetapi masyarakat India. 

“Keghairahan dan kemabukan kuasa mengaburi adab dan adat, yang turut merebak kepada awak. Sedarlah diri wahai macha," katanya lagi.

MIC kini sedang menilai kemungkinan untuk keluar daripada BN, antaranya ekoran rasa tidak puas hati terhadap kedudukan politik mereka, khususnya selepas Umno di bawah pimpinan Zahid menjalin kerjasama dengan PH.

Selain MIC, MCA juga bimbang isu pembahagian kerusi pilihan raya, yang mereka anggap lebih memihak kepada parti-parti penyandang.

Di bawah formula pembahagian kerusi BN–PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan menerima jumlah kerusi yang kecil untuk ditandingi pada PRU akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS