Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco Pemuda Umno: MIC sendiri akui bincang dengan PN
Diterbitkan:  Dec 15, 2025 9:00 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Seorang pemimpin Pemuda Umno menggesa MIC kembali memperkukuhkan BN dan mengadakan perbicangan, susulan kritikan yang ditujukan kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Exco Pemuda Umno, Fadzmel Fadzil, yang juga setiausaha akhbar kepada Zahid selaku menteri pembangunan luar bandar dan wilayah membangkitkan beberapa laporan media mengenai pendirian MIC yang didakwa tidak konsisten sebelum ini.

"Saya membaca kenyataan Ketua Pemuda MIC Arvind Krishnan yang lantang menafikan kononnya MIC kemabukan kuasa dan tidak jujur dalam membuat ketetapan politik.

"Baru-baru ini Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menuntut satu pendirian yang jelas dan tuntas daripada MIC.

“Ini termasuk menyebut bahawa “siang cakap lain, malam pula cakap lain” yang mana bila saya dengar dengan teliti kenyataan itu disebut dengan tenang tanpa emosi, tetapi lebih kepada penjelasan beliau terhadap rentetan tindakan MIC yang berkecelaru kebelakangan ini," katanya dalam hantaran di Facebook.

Arvind hari ini mendakwa Zahid adalah pihak yang sebenarnya “mabuk kuasa” apabila membuat keputusan membentuk kerajaan dengan PH dan terbaru kerajaan Sabah pimpinan GRS, walaupun Umno pernah mengkritik DAP dan GRS.

Dalam ucapannya, Zahid mengingatkan parti komponen BN supaya berfikir dengan teliti sebelum memutuskan untuk meninggalkan gabungan yang telah mereka sertai sekian lama, terutamanya dengan landskap politik yang sentiasa berubah-ubah.

"Sekiranya saudara Arvind boleh membaca keseluruhan konteks dengan jujur, beliau sendiri boleh memahami mengapa ungkapan itu terlintas daripada pemikiran seorang pemimpin yang hari ini memikul tanggungjawab besar mengemudi Barisan Nasional dalam landskap politik yang penuh dinamik," kata Fadzmel.

Kenyataan Arvind terhadap Zahid sebelum ini mendorong ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, mengeluarkan teguran keras.

“Dei machaa.

“Yang mabuk ini bila ada orang cakap mahu keluar, tapi tak keluar walaupun AGM sudah setuju keluar.

“Yang mabuk ini bila mahu sertai PN tapi mahu kekal sokong PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim).

“Ini tahap mabuk todi level tinggi,” tegas Akmal.

Sementara itu, Fadzmel berkata beberapa laporan media dari 16 Ogos hingga semalam mengukuhkan persepsi tentang pendirian MIC yang tidak konsisten sama ada untuk kekal dalam BN atau beralih kepada PN.

Pada 16 Ogos lalu, Harian Metro 16 Ogos melaporkan presiden MIC, SA Vigneswaran mengakui “perbincangan” dengan pemimpin PN, manakala laporan Berita Harian semalam memetik Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, yang berkata parti itu akan kekal dalam BN sehingga keputusan muktamad dibuat oleh jawatankuasa kerja pusat.

"Maka akhirnya, kenyataan bahawa berlaku percanggahan antara kata dan tindakan bukanlah satu rekaan.

"Ia lahir daripada rentetan peristiwa yang boleh dibaca, dinilai dan dirujuk oleh sesiapa sahaja, termasuklah rakan saya K Arvind, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan.

"Sebagai seorang yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Pemuda Barisan Nasional dan ketika itu saudara Arvind juga merupakan Setiausaha Pemuda MIC, saya ingin mengingatkan bahawa kesetiaan tidak diuji hanya ketika parti kehilangan kuasa, tetapi juga ketika ada sedikit ruang kuasa.

"Yang membezakan dan menyatukan kita adalah nilai kesetiaan dan kejujuran,” tambah Fadzmel.

Fadzmel berkata Arvind juga perlu melihat sejarah bahawa Presiden MIC terawal dahulu membina parti atas prinsip kesetiaan kepada kerjasama dan kestabilan negara, bukan politik emosi atau ugutan.

"Nilai inilah yang sepatutnya menjadi panduan seluruh kepimpinan Pemuda MIC," katanya.

Ruang perbincangan terbuka

Dalam pada itu, Fadzmel berkata dia masih berharap MIC dapat bermuhasabah dan kembali memperkukuh barisan bersama Barisan Nasional.

"Ruang perbincangan sentiasa terbuka, sama ada di Dewan Tertinggi BN atau melalui apa-apa saluran musyawarah yang matang. Tetapi kena hadirlah mesyuarat bukan beri alasan memanjang.

"Contohilah (Presiden MCA), Datuk Seri Wee Ka Siong. Walaupun wujud perbezaan pandangan, beliau tetap hadir ke meja perbincangan dan mencari titik temu demi kestabilan bersama.

"Di situlah perbezaan antara kepimpinan yang berakal dan kepimpinan yang mengkhayalkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS