PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim tampil mempertahankan agensi penguatkuasaan di tengah-tengah desakan meluas agar mekanisme akauntabiliti diperkukuh susulan bantahan awam terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa dan salah laku.
Berucap di Dewan Negara hari ini, Anwar menegaskan bahawa jumlah keseluruhan RM15.5 bilion yang dikutip tahun ini oleh agensi-agensi tersebut melalui rampasan, pelucuthakan dan kutipan penalti membuktikan bahawa integriti kekal sebagai tonggak utama pihak berkuasa penguatkuasaan.
Angka tersebut disifatkannya sebagai yang terbesar dalam sejarah negara dan menunjukkan agensi penguatkuasaan di bawah kerajaan Madani berjaya menangani “kelonggaran dan kelompangan” yang wujud sebelum ini.
“Kalau tanpa integriti tak mungkin nilai rampasan, lucut hak serta kutipan penalti berjumlah RM15.5 billion dapat dicapai, kali pertama dalam sejarah negara. Ini beri gambaran bahawa sebelum ini nampak ada kelonggaran, ada kelompangan, mana mungkin dalam satu negara kita mampu kutip RM15.5 bilion dari ketrisian, rasuah, penyeluduan dan lain-lain,” kata Anwar sebagai jawapan kepada pertanyaan Senator Amir Md Ghazali di Dewan Negara.
Amir meminta perdana menteri menyatakan langkah-langkah kerajaan bagi memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang untuk mengekang penyalahgunaan kuasa serta ketirisan dalam agensi-agensi berkenaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Soalan itu dikemukakan ketika desakan semakin meningkat supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan, dengan pelbagai pihak mengulangi kritikan terhadap Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang disifatkan sebagai “tidak bertaring”.
Desakan ke arah penubuhan IPCMC semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini susulan beberapa insiden, termasuk kejadian tembakan maut polis ke atas tiga suspek di Durian Tunggal, Melaka, apabila keluarga mangsa menuduh polis melakukan pembunuhan.
Dalam jawapannya hari ini, Anwar berkata walaupun terdapat beberapa “kelemahan yang tidak dapat dinafikan” dari segi tindakan agensi penguatkuasaan, adalah “tidak adil” untuk memberikan gambaran negatif terhadap pihak berkuasa tersebut “terutamanya terhadap ketua polis negara (KPN)”.
“PDRM telah merekodkan nilai rampasan hampir RM4 bilion, ia telah membuktikan keupayaannya melalui proses integriti dan berjaya menyelamatkan sejumlah besar dana untuk negara (melalui) tindakan mereka terhadap penjenayah dan penyeludup.
“Saya ingin jelaskan sekiranya ada kes-kes ketelanjuran tindakan oleh polis, siasatan menyeluruh tetap akan dijalankan,” tegasnya.
Merujuk kepada kejadian tembakan di Durian Tunggal, Ahli Parlimen Tambun itu berkata kematian tiga individu yang “dianggap penjenayah tegar” itu telah disiasat dengan sewajarnya sebelum laporan siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara hari ini.
“Saya telah diberi jaminan oleh KPN dan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus tanpa tolak ansur,” kata Anwar.
Tambahnya lagi, walaupun salah laku polis tidak boleh diabaikan, perbuatan sedemikian perlu dibezakan daripada tindakan yang diambil terhadap penjenayah tegar, sambil merujuk beberapa kes anggota polis yang cedera ketika menjalankan tugas.
“Walaupun kita menuntut agar polis menjalankan tugas dengan cermat dan mengikut undang-undang, kita tidak boleh memberi gambaran bahawa kita lemah atau bertolak ansur terhadap penjenayah tegar yang berkeliaran,” tegas Anwar.
Semalam, keluarga yang mewakili tiga lelaki yang terbunuh di Durian Tunggal menggesa Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, supaya segera direhatkan (garden leave), susulan dakwaannya yang disifatkan sebagai “sama sekali palsu dan tidak logik” terhadap isteri salah seorang mangsa.
Dakwaan Dzulkhairi bahawa M Jayashree mempunyai rekod jenayah yang panjang dikecam oleh peguamnya, Rajesh Nagarajan, yang menuduh ketua polis negeri itu melakukan “pembunuhan karakter”.
Rajesh turut mengkritik Dzulkhairi kerana “pendedahan maklumat peribadi yang tidak perlu” selepas dia mendakwa Jayashree tidak berkahwin secara sah dengan lelaki yang didakwanya sebagai suami, dan lelaki itu sebenarnya mempunyai isteri lain di Johor.
Isu kematian dalam tahanan
Sementara itu, Anwar hari ini dilihat meremehkan tahap keseriusan kes kematian tahanan dalam kalangan kaum India.
“Tetapi persepsi berbeza, umpamanya saya sendiri dengar dan saya percaya ramai senator (dengar), kematian dalam tahanan sejak 2024 itu melibatkan majoriti satu kaum, kenyatan itu disebaliknya, faktanya kematian dalam tahanan sejak IPCC ditubuhkan 2024,” katanya.
Jelasnya lagi, sejak IPCC ditubuhkan pada 2024, terdapat 57 kematian dalam tahanan, dengan majoritinya Melayu (25 kematian), diikuti migran (15), Cina (9), India (4) serta bumiputera Sabah dan Sarawak (4).
Angka yang dikemukakan Anwar sepadan dengan statistik terdahulu mengenai kematian dalam tahanan, di mana majoritinya adalah orang Melayu.
Namun secara statistik, bilangan kematian dalam tahanan melibatkan kaum India sering tidak seimbang berbanding saiz populasi.
Pada 2018, satu analisis oleh Malaysiakini mendapati hampir satu perempat daripada kematian dalam tahanan adalah melibatkan orang India, walaupun komuniti itu membentuk kurang daripada tujuh peratus populasi Malaysia.
Mengulas kebimbangan terhadap integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anwar mengulangi dakwaannya bahawa walaupun badan itu sering dikritik secara terpilih, ia terus melaksanakan tugas demi kepentingan negara.
“SPRM telah merekodkan pelucuthakan melebihi RM8 bilion. Seperti yang kita tahu, beberapa isu berkaitan politik telah didedahkan, namun tindakan tegas SPRM terhadap individu rasuah, atau mereka yang dianggap tokoh rasuah besar, tidak selalu mendapat sokongan.
“Malah, terdapat pembelaan yang dibuat, termasuk oleh ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata Anwar tanpa merujuk sindirannya terhadap mana-mana ahli Parlimen tertentu.
Apabila ditekan sama ada perlindungan terhadap pemberi maklumat benar-benar dijamin di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, perdana menteri menjawab secara afirmatif, namun menegaskan bahawa perlindungan tersebut tidak perlu diberikan kepada mereka yang terlibat melakukan rasuah.
“Terdapat kekeliruan di negara kita hari ini. Perompak dan individu rasuah kini turut dilabel sebagai pemberi maklumat dan diangkat sebagai wira. Ini satu masalah.
“Jika seseorang mencuri RM1 bilion kemudian berkata dia akan bekerjasama dengan SPRM untuk mendapatkan semula RM100, itu penjenayah tegar, bukan pemberi maklumat,” kata Anwar, menyamakan keadaan itu dengan membebaskan seorang pembunuh jika dia bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Dia juga berkata kini wujud satu “budaya”, termasuk dalam kalangan ahli politik sendiri, di mana “individu yang secara terbuka mengaku menyogok pemimpin politik” diagungkan.
“Kita mesti membezakan antara pemberi maklumat tulen, yang perlu dipertahankan dan dilindungi, dengan penjenayah tegar yang berlindung di sebalik nama pemberi maklumat,” tegas Presiden PKR itu.
Kenyataan itu mengulangi pandangan yang pernah disuarakannya sebelum ini ketika berdepan tekanan supaya mengambil pendirian lebih tegas terhadap rasuah.
Terbaru, dalam ucapan pada perhimpunan bulanan Kementerian Kerja Raya di Kuala Lumpur, dia melahirkan kekesalan terhadap trend “mengagungkan” pemberi rasuah.
Ucapan itu dibuat selepas bekas setiausaha politiknya, Shamsul Iskandar Akin, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan rasuah kerana didakwa menerima sogokan daripada ahli perniagaan Albert Tei bagi membantu mendapatkan lesen penerokaan perlombongan di Sabah.
Sejak November tahun lalu, Tei dilihat agresif mendedahkan ahli-ahli politik yang didakwanya menerima wang daripadanya bagi lesen penerokaan mineral di Sabah, yang akhirnya tidak diperolehnya.
Peguam Tei, Mahajoth Singh, berhujah bahawa anak guamnya wajar “diberi ganjaran” kerana mendedahkan rasuah dengan risiko peribadi yang besar, manakala bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata mendakwa pemberi maklumat bukanlah cara “serius” untuk memerangi rasuah.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menegaskan bahawa Tei tidak dianggap sebagai pemberi maklumat yang layak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 kerana dia terlibat secara aktif dalam transaksi rasuah.
