Dua menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) digugurkan daripada kabinet dalam rombakan kabinet besar-besaran oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.
Mereka ialah Zaliha Mustafa (Wilayah Persekutuan) dan Mohd Na'im Mokhtar (agama).
Zaliha digantikan oleh Hannah Yeoh yang sebelum ini menerajui kementerian belia dan sukan, manakala Mohd Na’im digantikan oleh timbalannya Zulkifli Hasan.

Pengumuman itu dibuat Anwar di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya petang ini.
Kata Anwar perubahan itu dibuat bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan lebih berkesan.
Sebelum ini, kabinet menyaksikan empat kekosongan portfolio menteri, iaitu menteri ekonomi yang disandang Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Sementara itu, jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang disandang Tengku Zafrul Abdul Aziz kosong selepas dia tamat tempoh pelantikan sebagai senator.
Untuk rekod tiga kekosongan terdahulu berlaku apabila penyandangnya - Rafizi, Nik Nazmi, dan Ewon - meletak jawatan.
Rafizi diganti dengan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir, manakala Nik Nazmi digantikan pemimpin dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang juga komponen BN, Arthur Joseph Kurup.
Jadi menteri penuh
Arthur sebelum ini memegang jawatan sebagai timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan.
Kekosongan ditinggalkan Tengku Zafrul diisi Naib Presiden Umno dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Ghani.
Rombakan kabinet juga dilihat bekas naib presiden PKR Saraswathy Kandasamy digugurkan sebagai timbalan menteri perpaduan.
Saraswathy yang baru-baru ini mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara bagi penggal kedua digantikan oleh Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran.
Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud pula dilantik sebagai Menteri di JPM bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari, dipilih memegang jawatan menteri penuh di Kementerian Belia dan Sukan.
Dia merupakan anak kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Turut menarik perhatian ialah pemilihan tokoh yang menjadi timbalan menteri agama, Marhamah Rosli, yang sebelum ini menjadi antara watak yang giat memperjuangkan isu Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim, bertukar portfolio dari Kementerian Belia dan Sukan kepada ke Kementerian Pendidikan Tinggi.
Dia sebelum ini aktif sebagai aktivis gerakan mahasiswa.
