Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan mengumumkan barisan kabinet baru kerajaanpada jam 3.30 petang ini.
Menerusi kenyataan dalam Facebook, Anwar berkata, rombakan itu sebagai langkah memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan.
"Insya-Allah, petang ini saya akan membuat pengumuman khas terkait Kabinet Kerajaan Madani.
"Kerajaan Madani akan terus memberi keutamaan untuk memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar demi kesejahteraan rakyat dan negara," katanya hari ini.
Terdahulu, memetik sumber yang rapat dengan kerajaan, Malaysiakini melaporkan Anwar telah mempersembahkan barisan baru itu kepada Sultan Ibrahim Iskandar, semasa dia menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.
Foto daripada pertemuan di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur dimuat naik di akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim sekitar tengah hari.

Satu sumber mendakwa rombakan itu akan menyaksikan sekurang-kurangnya tiga timbalan menteri daripada PH dinaikkan pangkat sebagai menteri, manakala seorang menteri yang memegang portfolio yang sangat penting akan dipindahkan ke kementerian lain.
Awal November lalu, Presiden Upko, Ewon Benedick, meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berikutan tidak sependapat mengenai tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.
Sementara itu, khidmat Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai senator bagi penggal kedua berakhir pada awal Disember dan dia terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Tempoh tiga lagi menteri yang juga senator – Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar – telah disambung untuk tempoh tiga tahun lagi.
Sebelum ini dua menteri – Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad – meletakkan jawatan setelah tewas dalam pemilihan PKR.
