Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mempertahankan undangan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di pelancaran buku mengenang SM Mohamed Idris, yang dikritik anak-anak pengasas persatuan itu.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata pihaknya telah membuat pertimbangan sewajarnya berhubung pandangan mereka sebelum ini, namun memutuskan untuk meneruskan acara itu yang disifatkan sebagai cara terbaik untuk menghormati legasi SM Mohamed Idris, yang juga merupakan abangnya.
Justeru, Mohideen berkata kenyataan yang dibuat anak-anak saudaranya itu adalah usaha untuk menjejaskan nama baik CAP.
“Sejak 1969, CAP berada di barisan hadapan dalam mempertahankan hak rakyat biasa, memastikan persekitaran yang sihat untuk semua, serta membina sebuah masyarakat yang adil. Itulah legasi berkekalan Allahyarham abang saya dan pengasas CAP.
“Acara ini, yang dihadiri rakan-rakan lamanya, sahabat seperjuangan daripada masyarakat sivil, serta aktivis muda dan pelajar daripada pelbagai lapisan masyarakat, merupakan penghargaan ikhlas terhadap legasi tersebut.
“Ia menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Anwar, yang turut bersama kami meraikan penerbitan buku penting ini. Kehadiran Perdana Menteri menunjukkan hubungan yang panjang dan erat dia dengan Allahyarham Idris serta CAP sendiri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, tiga anak SM Mohamed Idris berkata pihak keluarga tidak pernah memberikan persetujuan untuk Anwar terlibat dalam apa jua kapasiti berkaitan buku The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of SM Mohamed Idris, yang dilancarkan Anwar dalam satu acara di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Baca: Anak kesal PM lancar buku SM Idris, tak puas hati kes Yusoff Rawther
Dalam kenyataan bersama, Ayisha, Fathima dan Khatija berkata ia kerana “kes salah laku DSAI terhadap cucu arwah, Muhammed Yusoff Rawther”.
Menurut mereka, bantahan itu telah dimaklumkan secara jelas dan berulang kali kepada CAP namun tidak diendahkan.
“Ketidakhadiran kami adalah satu manifestasi bantahan yang nyata,” kata mereka lagi.

Mereka juga kecewa apabila poster promosi acara tersebut turut menyertakan simbol dan logo kerajaan, yang merupakan satu bentuk “komodifikasi dan eksploitasi” nama dan jasanya demi mengukuhkan imej politik Anwar.
Pergeseran keluarga itu berlarutan sejak 2019, apabila Mohideen mendakwa Yusoff telah dimanipulasi oleh ahli-ahli politik, susulan satu akuan berkanun oleh Yusoff yang menuduh Anwar melakukan salah laku seksual terhadapnya.
Saman sivil yang difailkan oleh Yusoff terhadap Anwar masih dibicarakan di mahkamah, dengan rayuan Anwar untuk menghentikan kes tersebut dijadualkan didengar pada Mac depan.
