Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Durian Tunggal: Kepercayaan jadi taruhan, menteri gesa segerakan siasatan
Diterbitkan:  Dec 17, 2025 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran menggesa pihak berkuasa agar mempercepatkan siasatan terhadap insiden tembakan polis di Durian Tunggal, Melaka.

Menurutnya, kepercayaan awam terhadap agensi penguatkuasaan menjadi pertaruhan dalam kes tersebut.

Menyambut baik arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar siasatan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, Kulasegaran mempersoalkan mengapa kes itu tidak disiasat sebagai kes bunuh sejak dari awal.

“(Klasifikasi semula) mencerminkan komitmen terhadap ketelusan dalam siasatan dan penting bagi memperkukuh keyakinan awam terhadap proses undang-undang dan kedaulatan undang-undang.

“Bagaimanapun, kedua-dua kenyataan (daripada AGC dan Ketua Polis Negara) menimbulkan persoalan penting: di bawah peruntukan mana siasatan asalnya diklasifikasikan, dan mengapa siasatan pembunuhan tidak dimulakan sejak awal?

“Walaupun klasifikasi semula ini dialu-alukan, kepercayaan awam terhadap institusi kita hanya dapat dipertahankan jika siasatan dijalankan dengan cepat dan menyeluruh,” kata Kulasegaran dalam kenyataan hari ini.

Kulasegaran juga berkata gesaan untuk mempercepatkan siasatan adalah bagi memastikan bukti dan keterangan saksi yang relevan diperoleh selagi ia masih tidak terjejas.

Katanya lagi, cara siasatan dijalankan dan hasil akhirnya akan mempunyai implikasi yang luas terhadap keyakinan awam terhadap profesionalisme pihak berkuasa.

“Terutama berkenaan kesediaan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang berkuasa, serta kemampuan institusi kita untuk melindungi hak dan maruah golongan yang terdedah dengan risiko.

“Keluarga mereka yang ditembak mesti diberikan jaminan dan keyakinan bahawa siasatan akan menyingkap punca sebenar insiden ini.

“Seperti yang ditekankan oleh Ketua Polis Negara, tiada kompromi apabila melibatkan salah laku (serta tindakan salah) oleh sesiapa pun,” kata Kulasegaran.

Semalam, AGC berkata pihaknya telah mengarahkan siasatan diklasifikasi semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas meneliti laporan yang dikemukakan polis.

"Penelitian awal Jabatan ini mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat,” kata AGC.

Pada hari yang sama, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata polis komited untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus dan mengikut undang-undang.

Pada 24 November, polis menembak mati tiga lelaki berumur antara 24 hingga 29 tahun selepas seorang daripada mereka didakwa menyerang seorang anggota polis menggunakan parang di ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Ketua Polis Melaka Dzulkhair Mukhtar mempertahankan tindakan pasukannya, dan mendakwa insiden itu menyebabkan seorang koperal berumur awal 30-an mengalami kecederaan serius pada lengan kiri.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili keluarga mangsa menolak penjelasan polis, dan berkata rakaman suara yang didakwa dibuat ketika insiden itu menunjukkan mereka telah ditahan polis sebelum ditembak.

Seorang daripada peguam keluarga, Rajesh Nagarajan menggesa pihak berkuasa mendakwa anggota polis yang terlibat dengan tuduhan bunuh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS