PAS melontarkan kritikan pedas terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan mempersoalkan jika dia mendahului proses keadilan apabila secara tidak langsung melabelkan ahli perniagaan, Albert Tei sebagai bersalah sebelum keputusan mahkamah.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari turut mempersoalkan jika bekas setiausaha politik Anwar, Shamsul Iskandar Md Akin yang baru-baru ini didakwa di mahkamah bersama-sama Tei, juga boleh diberi label serupa, jika logik yang sama digunakan.
Pada 4 Disember lalu, Shamsul didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah RM176,830 daripada Tei.
Tei pula dituduh menawarkan rasuah tersebut. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
“Saya tidak menyebelahi Albert Tei, tetapi kita juga wajib berlaku adil.
“Adakah Perdana Menteri sedang mendahului keadilan di mahkamah apabila menggambarkan Albert Tei telah mencuri wang atau memperoleh sebarang keuntungan atau manfaat yang dapat mengesahkan kesalahannya?
“Jika begitu, bolehkah kita juga katakan bahawa bekas setiausaha politiknya sebagai ‘penerima rasuah tegar’ sedangkan dia baru sahaja didakwa di mahkamah?” soalnya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Anggota Parlimen Pasir Mas itu mendakwa Anwar mengamalkan piawaian moral secara terpilih, dengan mendakwa dia tetap bekerjasama dan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didakwa terlibat dalam skandal perlombongan di Sabah.
“Adakah Anwar menganggap penerima rasuah lebih mulia dan suci daripada pemberi rasuah?” soalnya lagi.
Fadhli mengulas kenyataan Anwar bahawa pemberi maklumat perlu dibezakan dengan jelas daripada “penyamun atau penjenayah tegar”.
Berucap di Dewan Negara, Anwar berkata bahawa “seseorang” yang mencuri RM1 bilion tetapi kemudian bekerjasama dengan SPRM untuk mendapatkan semula sebahagian kecil daripada jumlah tersebut.
Anwar tidak menyebut sebarang nama secara khusus, namun dilihat merujuk kepada Tei.
Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentang di Dewan Rakyat tahun depan, bagi memperjelas perbezaan antara pemberi maklumat tulen dan penjenayah yang cuba berselindung di sebalik undang-undang berkenaan, kata Anwar lagi.
‘Sedia ke mahkamah?’
Fadhli berkata dia mengalu-alukan pindaan terhadap tersebut namun mempersoalkan keikhlasan Anwar, sambil menegaskan Perdana Menteri sebelum ini menolak permohonan Tei untuk mendapatkan perlindungan sebagai pemberi maklumat.
“Mengikut rekod, Albert Tei selaku pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah Sabah pada awal bulan November tahun lalu dan peguamnya pernah mengutus surat kepada Perdana Menteri ketika itu.
“Malangnya Perdana Menteri telah menolak permohonan perlindungan kepadanya dalam masa yang singkat walaupun tanpa sebarang siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Fadhli juga mempersoalkan jika Anwar bersedia untuk menyokong dakwaannya di mahkamah.
“Bolehkah Perdana Menteri dipanggil ke mahkamah dan menunjukkan bukti yang selari dengan hujahannya?
“Jika gagal, tidak tahulah mukanya nak letak kat mana? Satu perkara yang sangat memalukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata Anwar sehingga kini tidak menafikan dakwaan penglibatannya dalam kes rasuah yang melibatkan Tei dan Shamsul, seperti yang didakwa oleh seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong.
“Tanpa penafian secara rasmi daripada Anwar, bermakna apa yang dikatakan oleh Sofia adalah benar,” tegasnya.
Dalam rakaman yang disebarkan di media sosial sebelum ini, wanita yang didakwa memiliki kaitan dengan Shamsul didengar memberitahu Tei bahawa Anwar setuju agar ahli politik Sabah dirakam secara rahsia.
Dia juga mendakwa Shamsul pernah bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Bakiuntuk memintanya “menyelesaikan” kes skandal perlombongan Sabah yang melibatkan Tei.
Wanita itu pada mulanya dituduh menjadi proksi kepada Shamsul, tetapi dia kemudian menafikan perkara tersebut.
