Mahkamah Tinggi Bangladesh mengarahkan kerajaannya memberi penjelasan kenapa sepuluh syarat baru negara itu untuk menghantar pekerjanya ke Malaysia tidak wajar diisytiharkan tidak sah di sisi undang-undang.
Melalui satu perintah yang dikeluarkan semalam, mahkamah memberikan tempoh 10 hari untuk kerajaan Bangladesh berbuat demikian susulan tindakan undang-undang yang difailkan agensi pekerjaan yang mencabar syarat berkenaan.
Perintah itu dikeluarkan oleh panel Hakim Fatema Z Nizib dan Hakim Fatema Anowar selepas mendengar petisyen writ yang difailkan oleh tiga syarikat penghantaran pekerja Bangladesh, termasuk Afiya Overseas.
Malaysiakini telah melihat salinan perintah mahkamah berkenaan yang ditulis dalam bahasa Urdu.

Ketika dihubungi, peguam kepada Afiya, Atikur Rahman, mengesahkan perkara itu.
“Ya, saya selaku peguam Afiya mengesahkan bahawa mahkamah telah mengarahkan kerajaan Bangladesh untuk membalas isu ini dalam masa 10 hari,” katanya kepada Malaysiakini.
Petisyen tersebut mencabar 10 syarat kelayakan yang diumumkan oleh Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh pada 18 November 2025 susulan garis panduan daripada kerajaan Malaysia.
Dalam hujah mereka, para pemohon mendakwa syarat-syarat itu bersifat berat sebelah dan tidak munasabah, sekali gus menyingkirkan sebahagian besar agensi perekrutan yang sah beroperasi.

Menurut mereka, kriteria berkenaan hanya menguntungkan segelintir syarikat besar dan membuka ruang kepada pembentukan monopoli dalam industri perekrutan pekerja migran.
Pemohon turut berhujah bahawa pendekatan tersebut bercanggah dengan prinsip persaingan sihat serta bertentangan dengan duluan undang-undang sedia ada.
Antara syarat utama yang dipersoalkan ialah keperluan agensi mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun operasi berlesen dengan rekod prestasi memuaskan.
Agensi juga diwajibkan membuktikan telah menghantar sekurang-kurangnya 3,000 pekerja ke luar negara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, selain memiliki pengalaman menghantar pekerja ke sekurang-kurangnya tiga negara destinasi berbeza dalam tempoh yang sama.

Kriteria lain termasuk memiliki lesen sah daripada pihak berkuasa Bangladesh serta sijil kelakuan baik yang dikeluarkan oleh negara-negara destinasi.
Mahkamah Tinggi kemudiannya mengarahkan kerajaan menjawab dan mempertahankan kesahihan dasar tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.
Sebelum ini, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memaklumkan 10 kriteria wajib untuk agensi luar negara membekalkan pekerja ke Malaysia.
Surat bertarikh 27 Oktober dihantar oleh Wisma Putra kepada kedutaan negara-negara sumber — iaitu negara yang layak menghantar pekerja asing — bagi meminta kerajaan masing-masing menyerahkan senarai agensi yang mampu memenuhi semua syarat tersebut selewat-lewatnya pada 15 November 2025.
Malaysiakini telah melihat sendiri surat berkenaan.
Antara syarat lain yang ditetapkan ialah keperluan mempunyai testimoni positif daripada sekurang-kurangnya lima majikan antarabangsa, memiliki pejabat tetap bersaiz besar (≥10,000 kaki persegi) yang telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun, serta mempunyai pusat latihan sendiri.
Wisma Putra kemudiannya menjelaskan sebarang persoalan berhubung kriteria dan dasar pengambilan pekerja asing perlu dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) selaku kementerian peneraju dalam hal tersebut.

“Kementerian Luar Negeri mengambil maklum pertanyaan berkaitan nota diplomatik yang dihantar kepada kedutaan beberapa negara sumber mengenai proses rasionalisasi agensi pengambilan pekerja asing. Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memperkukuh amalan pengambilan pekerja asing secara beretika dan telus.
“Dalam perkara ini, Kesuma adalah kementerian peneraju yang bertanggungjawab merangka serta menetapkan dasar berhubung pengambilan pekerja asing,” katanya pada satu kenyataan media.
Pada 31 Julai lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Bangladesh bersetuju menghentikan siasatan berhubung dakwaan sindiket mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia.
Ia susulan dakwaan satu sumber bahawa keputusan tersebut dicapai dalam pertemuan antara wakil kerajaan Bangladesh dan pegawai Kesuma di Kuala Lumpur pada Julai tahun ini.

Malaysiakini juga diberitahu pertemuan itu diadakan selepas kerajaan Malaysia menghantar surat kepada Bangladesh yang meminta siasatan terhadap dakwaan-dakwaan tertentu dihentikan kerana dianggap tidak berasas.
Surat bertarikh 23 April 2025 itu didakwa dihantar oleh pegawai kanan Kesuma kepada pegawai kanan Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh.
Dalam surat berkenaan, Kesuma meminta Bangladesh menangani isu sindiket yang mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia sepanjang fasa 2022 hingga 2024 bagi memastikan proses pengambilan pekerja berjalan lancar dan boleh dipercayai.
Surat itu turut menyatakan bahawa sebahagian besar dakwaan pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram adalah tidak berasas serta menjejaskan reputasi Malaysia.
Sehingga kini, Kesuma enggan mengulas berhubung kewujudan surat tersebut.
Untuk rekod, pada September tahun lalu, media Bangladesh The Business Standard melaporkan pemilik sebuah agensi pekerja membuat laporan polis terhadap 103 individu — kesemuanya pemilik agensi — atas dakwaan terlibat dalam sindiket mengeksploitasi warga Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia.
Laporan polis itu merujuk dakwaan penyelewengan dan pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan proses penghantaran pekerja ke Malaysia menerusi agensi yang dipilih melalui memorandum persefahaman (MOU) antara kedua-dua negara yang ditandatangani pada 19 Disember 2021.
Lebih 480,000 pekerja Bangladesh memasuki Malaysia antara 2022 hingga 2024 melalui 103 agensi yang dilesenkan oleh kedua-dua kerajaan.
Beberapa NGO tempatan dan Bangladesh mendakwa keputusan kedua-dua negara untuk hanya membenarkan 103 agensi membawa masuk pekerja asing telah menyebabkan ramai pekerja terperangkap dengan jaminan palsu selepas membayar yuran pengambilan sehingga RM25,000, selalunya melalui hutang.
Malaysiakini telah menghubungi Kesuma untuk mendapatkan maklum balas lanjut.
