mk-logo
Berita
‘Bebal, sampah, kurang ajar’ - Umno berang DAP rai keputusan mahkamah
Diterbitkan:  Dec 22, 2025 12:38 PM
Dikemaskini: 8:10 AM
2

Hantaran Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin di media sosial menimbulkan rasa kurang senang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii.

Walaupun tidak menyebut sebarang alasan, pemimpin DAP itu dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib Razak berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara beliau di bawahan tahanan rumah.

“Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” tulis Yeo sejurus selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan titah adendum itu tidak dibincang atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024.

Susulan keputusan itu, hakim memerintahkan Najib perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.

Selang beberapa minit kemudian, Razlan yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi, tampil menyelarnya.

“Ini kenyataan yang sangat kurang ajar!

“Tunggu waktu orang Melayu bersatu melawan kezaliman dan hasutan kamu,” katanya sambil melampirkan hantaran yang dibuat oleh Yeo itu.

Turut tampil menyelar pemimpin DAP itu, ialah Exco Wanita Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid.

“Penat kerja dengan samapah DAP jenis ini.” kata anak kepada timbalan perdana menteri dan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh juga amat tidak berpuas hati dengan hantaran yang dibuat oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan mahu partinya menarik sokongan kepada kerajaan pimpinanPerdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Apa lagi yang perlu kita tunggu? Tarik ja sokongan daripada kerajaan ini

“Biar kita jadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina dari puak-puak bebal ini!” katanya.

Selain Yeo yang juga adalah setiausaha publisiti kebangsaan DAP, seorang lagi ahli Parlimen PKR iaitu Wong Chen juga mengalu-alukan keputusan mahkamah hari i ni.

“Hidup keadilan,” kata ahli parlimen Subang itu sambil melampirkan berita bahawa Najib gagal dalam permohonannya untuk ditempatkan di bawah tahanan rumah.

Dalam penghakimannya, hari ini, Loke memutuskan bahawa titah adendum itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah.

"Responden tidak mempunyai kuasa dan tiada kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya… sebaliknya, pemohon (Najib) tidak mempunyai hak untuk memperoleh perintah mandamus… oleh itu, semakan kehakiman ini ditolak dan saya tidak membuat sebarang perintah berkaitan kos," katanya.

Pada 13 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk mendengar meritnya di hadapa hakim baharu selepas menolak permohonan Peguam Negara bagi kebenaran merayu kepada Mahkamah Rayuan berhubung isu membabitkan titah adendum.

Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi memaksa kesemua untuk mengesah dan mendedahkan kewujudan dokumen itu yang didakwa bertarikh 29 Jan 2024.

Dia menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Subang, Armand Azha Abu Hanifah (gambar atas) memberi amaran kepada penyokong PH agar tidak melampau dalam meraikan keputusan mahkamah hari ini.

“Jangan buat macam perjuangan kami ini kosong. Kami tak pernah berhenti perjuangkan keadilan untuk Datuk Seri Najib Razak dan korang ingat senang-senang boleh hina, perlekeh dan sentuh sensitiviti kami hanya sebab hari ini korang rasa “menang”? Kepala hotak korang lar.

"Ingat satu benda. Kerjasama politik dalam kerajaan bukan lesen untuk biadab. Bukan tiket untuk pijak perasaan rakan sendiri.

"Dan bukan alasan untuk hilang adab dan kemanusiaan. Kalau tak mampu hormat pendirian orang lain, jangan harap kami senyap,” tegasnya pada satu kenyataan keras.

Secara berasingan, Ahli Parlimen Subang Wong Chen melalui malum balas ringkas di media sosial terhadap keputusan mahkamah itu, berkata: “Keadilan hidup.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS