Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemalsuan dokumen pemain 'warisan', FAM akan buat laporan polis
Diterbitkan:  Dec 22, 2025 3:33 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat laporan polis mengenai dakwaan pemalsuan dokumen kewarganegaraan yang dikaitkan dengan tujuh pemain ‘warisan’ Harimau Malaya.

Pemangku presiden FAM, Yusoff Mahadi, berkata jawatankuasa eksekutif persatuan itu bersetuju dengan syor jawatankuasa siasatan bebas (IIC) yang menyiasat perkara itu.

"Kami akan membuat laporan polis dalam tempoh satu hingga dua hari akan datang bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh.

"Laporan itu akan melibatkan dakwaan pelanggaran berkaitan dokumen yang dikemukakan kepada Fifa (Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa). 

“Kami mahu polis menyiasat bagaimana pelanggaran itu berlaku dan siapa yang bertanggungjawab," kata Yusoff.

Tambahnya, Fifa juga akan memulakan siasatan terhadap setiausaha agung FAM yang digantung tugas, Noor Azman Rahman, yang akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin persatuan tempatan untuk tindakan selanjutnya.

"Kami telah menerima e-mel daripada Fifa dua hingga tiga hari lalu. Fifa ingin meneliti peranan, tanggungjawab dan penglibatan (Azman), terutamanya aliran dan pengendalian dokumen. Mereka mahukan penjelasan terperinci tentang proses tersebut," katanya.

Katanya, kes Azman juga telah dirujuk kepada "jabatan kerajaan yang berkaitan".

Sebelum ini, dalam laporannya yang diterbitkan pada 16 Dis, IIC–yang terdiri daripada empat anggota–menggesa FAM membuat laporan polis.

Fifa mendakwa FAM dan tujuh pemain memalsukan dokumen rasmi, yang merupakan kesalahan jenayah di bawah undang-undang Malaysia.

IIC menjelaskan mereka tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat perkara jenayah kerana kesalahan sedemikian berada bawah bidang kuasa polis.

IIC juga mendapati bahawa FAM kekurangan pengawasan dalaman yang betul dan mengesyorkan prosiding tatatertib untuk Azman, yang sebelum ini digantung pada 17 Oktober.

Panel itu berkata pengurus undang-undang FAM, Zainul Ariffin, memuat naik dokumen pemain ke portal undang-undang Fifa, bawah arahan daripada Azman.

Bagaimanapun, IIC mendapati bahawa arahan yang diberikan oleh Azman disampaikan tanpa mengesahkan kesahihan dokumen tersebut, walaupun rekod kelahiran tulisan tangan asal tidak tersedia daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan pegawai FAM wajar meletak jawatan jika didapati melakukan salah laku berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen kewarganegaraan tujuh pemain “warisan”.

Baginda turut menyindir FAM, mempersoalkan sumbangan badan induk itu terhadap pembangunan bola sepak tempatan.

Fifa sebelum ini memulakan siasatan terhadap FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya — Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Pada 26 Sept, Fifa memutuskan pemain-pemain itu bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Siasatan Fifa mendapati FAM mengemukakan dokumen yang didakwa dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain berkenaan, sekali gus membenarkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun, yang menyaksikan Malaysia menewaskan Vietnam 4-0.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda 350,000 Swiss franc (sekitar RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 Swiss franc (RM10,200) dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

FAM kemudiannya menggantung setiausaha agungnya Noor Azman dan mengumumkan siasatan bebas.

Selepas Jawatankuasa Rayuan Fifa menolak rayuan FAM dan pemain-pemain itu pada 3 Nov — yang mendakwa wujud “ralat teknikal” — FAM menyerahkan kenyataan rayuan kepada CAS pada 8 Dis.

Pada 17 Dis, FAM berkata Fifa membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 skuad kebangsaan yang dimainkan pada bulan Mei dan September.

FAM juga didenda 10,000 Swiss franc (RM51,000) kerana melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA kerana menurunkan pemain yang tidak layak untuk tiga perlawanan tersebut.

Dua bulan lalu, Setiausaha Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) Satees Muniandy melaporkan dakwaan skandal itu kepada polis tetapi tidak disiasat atas dakwaan “tiada unsur jenayah berlaku”.

Bagaimanapun, dia dipanggil memberikan keterangan kira-kira sebulan selepas itu selepas Fifa mengeluarkan penghakiman penuh, yang antaranya mendapati terdapat penggunaan dokumen palsu oleh tujuh pemain itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS